NORASHIKIN, menerima geran hak milik tanah daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Geran di Surau Al-Muhtadin. FOTO Hamzah Osman
NORASHIKIN, menerima geran hak milik tanah daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Geran di Surau Al-Muhtadin. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Penantian 40 tahun penduduk lima kampung untuk mendapatkan hak milik tanah yang diusahakan sejak sekian lama, berakhir apabila mereka menerima geran masing-masing hari ini.

Dokumen pemilikan tanah itu diterima 105 penduduk, pada majlis khas berlangsung di Surau Al-Muhtadin Kampung Buluh Penyumpit di sini.

Penduduk, Mat Zain Osman, 71, dari Kampung Ket Log, berkata dia berusaha memohon mendapatkan geran hak milik tapak kediamannya itu sejak 1983 dan kerap turun naik Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi.

"Gembira dan terharu kerana akhirnya dapat pegang sehelai kertas yang memberi hak ke atas tanah hasil usaha kami selama 40 tahun membabitkan empat menteri besar.

"Sebelum ini sudah ramai pemimpin politik yang datang dan pergi dengan setiap kali mereka masuk ke kampung ini kesemuanya memberi pelbagai janji untuk menyelesaikannya isu hak milik tanah," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi penduduk, Hatun Dahaman, 58, turut bersyukur apabila penantian 40 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah akhirnya menemui penghujung.

"Geran ini tidak diterima dengan mudah. Sejak mula teroka tanah kami telah melalui pelbagai cabaran dari segi fizikal dan mental, selain turun naik pejabat kerajaan sebelum menjadi kenyataan," katanya.

Majlis penyerahan geran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhammad Sanusi berkata, seramai 105 penerima geran membabitkan lima kampung itu adalah sebahagian 345 daripada keseluruhan pemohon yang telah diluluskan kerajaan negeri.

"Keseluruhan kawasan Hutan Simpan dicabut keluar untuk diberi pemilikan tanah adalah seluas 96.895 hektar membabitkan lima kawasan iaitu Hutan Simpan Bukit Panchor; Gunung Raya; Ayer Hangat; Gua Cherita dan Kisap.

"Seramai 105 penduduk yang terbabit bagi serahan hak milik fasa pertama ini adalah dari Kampung Buluh Penyumpit; Bukit Panchor; Ket Log; Syed Nahar dan Batu Gajah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 3:09 PM