Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Walaupun belajar berlainan bidang, graduan Diploma Pengurusan dari kolej swasta di sini, kini mampu menjana pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan hasil daripada pembuatan seramik.

Nur Syazwani Izyan Jefridin, 29, berkata dia mula mempelajari selok belok pembuatan seramik apabila ayahnya, Jefridin Mat, 56, mengusahakan pembuatan seramik di rumah mereka pada 2010 selepas kilang seramik tempat ayahnya bekerja terpaksa ditutup.

Katanya, ayahnya mengambil keputusan mengusahakan pembuatan seramik secara sendiri sebagai punca pendapatan untuk menyara keluarga pada ketika itu.

"Sejak itu, hanya saya yang membantu ayah di bengkel seramik setiap kali menerima tempahan daripada pelanggan memandangkan adik beradik lain tidak berminat.

"Pada awalnya memang tidak mudah untuk melakukannya kerana perlu membentuk arca daripada tanah liat selain perlu melalui banyak proses dan kerjanya agak cerewet, tetapi lama-kelamaan ia menjadi mudah," katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan seramiknya di Kampung Bunut Payung, di sini, hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas tamat pengajian pada 2013, ayahnya memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk mengendalikan perusahaan pembuatan seramik, sekali gus membantunya menjana pendapatan.

Menurutnya, sebelum ini seramik dihasilkan hanya dijual kepada penduduk sekitar, namun bermula 2014, dia mula mempromosikannya melalui platform dalam talian seperti Facebook, Instagram dan Shopee sehingga menembusi pasaran Singapura.

"Antara produk seramik dihasilkan termasuk periuk, bekas ubat nyamuk, selain cenderahati perkahwinan yang dijual serendah RM1 sehingga RM150.

"Kami menerima tempahan pelanggan yang bukan sahaja dari negeri ini, malah seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Setelah seramik dipromosikan mula mendapat permintaan tinggi, saya tidak menang tangan untuk menyiapkannya dan pada Januari lalu saya, mengambil empat pekerja untuk membantu proses pembuatan seramik di bengkel," katanya.

Beliau berkata, penghasilan seramik tidak akan selesai dalam masa sehari kerana ia membabitkan beberapa proses dan setiap proses pula memakan masa.

Menurutnya, dalam sehari, sekurang-kurangnya 100 seramik pelbagai bentuk dapat dihasilkan menggunakan bekas acuan dan ia mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan kerana perlu melalui pelbagai peringkat proses pembuatan bermula membentuk, mengering, membakar dan menghias.

Katanya, proses pembakaran ada kalanya agak mencabar kerana mesin pembakar harus diletakkan dalam suhu bersesuaian dan dibakar selama tujuh jam selain perlu berhati-hati kerana tidak mahu seramik dihasilkan itu rosak.

"Sebelum ini, saya hanya memproses seramik di bawah rumah, namun pada 2014 selepas tragedi bah kuning, ia runtuh dan dihanyutkan arus deras.

"Bagaimanapun, dengan bantuan diberikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), saya kini memiliki bengkel lebih selesa untuk memproses seramik," katanya.

NUR Syazwani menunjukkan seramik dihasilkan di bengkelnya. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
NUR Syazwani menunjukkan seramik dihasilkan di bengkelnya. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:21 PM