SEBAHAGIAN daripada 19 peserta umrah  AADK berlepas ke Tanah Suci.
SEBAHAGIAN daripada 19 peserta umrah AADK berlepas ke Tanah Suci.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: “Empat tahun saya hidup tiada arah tujuan selepas terbabit dengan najis dadah. Malah, keluarga juga tidak dapat menerima memandangkan saya mempunyai latar belakang pendidikan agama dan pernah belajar menghafaz al-Quran,” kata Hasan (bukan nama sebenar), 24, salah seorang daripada 19 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang menjadi peserta umrah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), semalam.

Menceritakan pengalamannya, Hasan berkata, punca dia berubah daripada seorang patuh agama kepada ‘budak nakal’ selepas mengalami kejutan budaya serta tersalah memilih rakan.

“Pada mulanya, saya bersekolah di sebuah sekolah agama terkenal di Kedah sebelum berpindah ke sekolah lain ketika berada di tingkatan tiga.

“Selepas berpindah sekolah, saya mengalami kejutan budaya seolah-olah baru mengenal dunia luar. Pada waktu itu, saya berasa bebas bergaul dan suka bersosial,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Seramai 19 peserta umrah AADK menyertai rombongan berkenaan ke Tanah Suci dan mereka ditemani dua pegawai pengiring serta enam anggota Polis Diraja Malaysia.

Hasan yang pernah menghafaz 10 surah membabitkan enam juzuk al-Quran berkata, dia berjinak dengan najis dadah selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

“Saya tidak terurus, tak fikir mengenai masa depan dan diri sendiri sehinggalah ditangkap. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan ibu bapa dan keluarga kerana itu memang salah saya sendiri.

“Alhamdulillah, ibu bapa sangat membantu dan memberikan sokongan ke atas perubahan saya selepas mengikuti program AADK. Adik-beradik yang lain masih sukar menerima dan saya tidak menyalahkan mereka kerana puncanya bermula atas perbuatan saya sendiri,” katanya.

Ditanya perasaannya terpilih ke Tanah Suci, Hasan berkata, dia bersyukur dan gembira dipilih Allah kerana ia peluang keduanya untuk melihat Kaabah di depan mata serta beribadat di sana.

“Saya sudah menunaikan ibadat haji ketika berusia 10 tahun bersama keluarga dan pemergian kali ini kali kedua saya ke Tanah Suci.

“Apabila berada di sana, saya mahu mendoakan kesejahteraan keluarga selain memohon dikurniakan zuriat,” katanya yang sudah berumah tangga sejak tiga tahun lalu.

Peserta lain, Ismail (bukan nama sebenar), 32, berkata, dia bersyukur dan gembira kerana terpilih menjadi tetamu Allah memandangkan tidak pernah ke Tanah Suci sebelum ini.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Jasri Kasim berkata, penyertaan peserta umrah itu dipilih daripada 625 OKP di Baling, Kedah dan mereka ke Tanah Suci dengan ditaja Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Peserta ini menunjukkan komitmen serta kesungguhan sepanjang mengikuti program rawatan dan pemulihan yang disediakan AADK kepada mereka.

“Kita berharap program ini dapat menaikkan semangat peserta untuk meneruskan pemulihan. Pada masa sama, kita juga berharap pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan dapat tampil memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:56 AM