SHAFIE (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta umrah, semalam.
SHAFIE (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta umrah, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: “Ini kali pertama saya akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Alhamdulillah, impian saya untuk menunaikan ibadat di sana dimakbulkan Allah,” kata Azmin Che Noh, 63, seorang daripada pekebun kecil yang terpilih menunaikan umrah tajaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Azmin dari Sik, Kedah berkata, dia sudah mengumpulkan wang sejak sekian lama untuk menunaikan ibadat ke Tanah Suci, namun ia masih tidak mencukupi.

“Apabila nama terpilih ke Makkah, saya berasa bersyukur dan gembira kerana hasrat mahu ke sana dimakbulkan Allah.

“Sekian lama saya mengumpul wang, tetapi belum cukup. Saya menyifatkan ini sebagai rezeki yang Allah beri dan terima kasih juga kepada RISDA dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Peserta Umrah RISDA 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Pengarah RISDA Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Seramai 26 jemaah umrah terdiri daripada pekebun kecil terpilih menyertai ibadat umrah yang ditaja RISDA.

Mereka yang dipilih melalui pelbagai saringan dan antara kriteria peserta ialah pertama kali ke Makkah, berusia 60 tahun ke atas selain mengambil kira faktor kesihatan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 4:53 AM