KEMALANGAN mengakibatkan kedua-dua kenderaan masuk ke dalam parit. FOTO Togi Marzuki
KEMALANGAN mengakibatkan kedua-dua kenderaan masuk ke dalam parit. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


Pontian: "Arwah sempat melafazkan Allahuakbar sebelum menghembuskan nafas terakhir," kata Zainorita Sanot, 53, anak kepada Allahyarham Sanot Sidek yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Seri Bunian di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, Sanot Sidek, 86, maut selepas Yamaha Lagenda 115 ditunggangnya bertembung sebuah kereta sebelum kedua-dua kenderaan masuk ke dalam parit.

Difahamkan, pemandu Proton Wira berusia 44 tahun mengalami cedera ringan.

Zainorita berkata, ketika kejadian bapanya dalam perjalanan ke kedai untuk membeli roti sebagai persediaan sarapan esok.

Katanya, dia dimaklumkan rakan sekampung, arwah bapa sempat melafazkan Allahuakbar sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Tiada menu lain, hanya roti sebagai santapan utama sarapan. Kebiasaannya selepas itu arwah akan ke kebun sawit.

"Bapa amat disenangi oleh masyarakat setempat, selain tenaga pengajar kesenian kuda kepang, arwah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk keagamaan dan gotong-royong," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Muhammad Shofee Tayib berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal keluar dari lorong di kediamannya sebelum bertembung dengan kereta secara bertentangan.

"Penunggang motosikal cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta mengalami cedera ringan, " katanya.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk tindakan lanjut bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 11:36 AM