SUKARELAWAN bergotong-royong mengemas rumah yang terbabit dengan banjir.
SUKARELAWAN bergotong-royong mengemas rumah yang terbabit dengan banjir.
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Mohd Idris Sulaiman

Bota: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), bagi membantu mangsa banjir di daerah Perak Tengah selama dua hari bermula kelmarin, diteruskan semalam dengan kerja pembersihan serta membaik pulih tiga Sekolah Agama Rakyat (SAR), sebuah sekolah tahfiz dan sebuah surau di dalam Mukim Lambor, di sini.

Kerja pembersihan dan membaik pulih membabitkan 130 sukarelawan itu dilakukan di SAR As-Sibyan Kampung Tua, SAR Al- Falahiyah Kampung Talan, SAR Al-Jadidi Kampung Rimba Raja, Sekolah Tahfiz Ar Ridzuan dan Surau Kampung Rimba Raja.

Sukarelawan diketuai Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu Rencana Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM, Othman Mamat terdiri daripada kakitangan The New Straits Times Press (M) Berhad, ahli PSSCM, Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders turut mengecat bangunan SAR As-Sibyan Kampung Tua dan membersih di beberapa rumah penduduk yang belum selesai.

Turut serta Pengerusi Perayaan 50 tahun PSSCM, Mohd Fizol Mohd Saad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota Datuk Nasaruddin Hashim, turut meninjau serta melawat kerja pengagihan barang sumbangan kepada 13 ketua kampung mewakili 1,000 keluarga di Dewan Badminton Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, semalam.

Kelmarin, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, turut menyampaikan sumbangan barangan kelengkapan sekolah seperti meja, kerusi, meja guru dan almari bernilai RM75,000 kepada ketiga-tiga SAR berkenaan, manakala Surau Kampung Rimba Raja menerima Al-Quran, sejadah dan perabot bernilai RM25,000.

Pengerusi Surau Kampung Rimba Raja yang juga Pengerusi SAR Nurul Jadid Kampung Rimba Raja, Ahmat Ismail Yeop Ismail melahirkan rasa gembira atas sumbangan barangan kelengkapan sekolah dan surau diberikan Harian Metro kerana barangan itu sangat diperlukan bagi menggantikan peralatan yang rosak akibat banjir.

Katanya, semua barangan di surau serta SAR berkenaan tidak lagi boleh digunakan selepas mengalami kerosakan akibat banjir itu dan kos kerugian yang dianggarkan terpaksa ditanggung sebanyak RM60,000,

Menurutnya, ketika kejadian banjir pada 23 Disember lalu, surau berkenaan paling teruk terjejas apabila air naik begitu cepat sehingga ke hampir satu meter menyebabkan tiada barangan atau peralatan yang dapat diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:43 AM