Bota: "Saya hanya mampu menyelamatkan mesin basuh manakala peralatan kediaman lain musnah ditenggelami banjir, " luah mangsa, Bibah Kulup Ibrahim, 57.

Wanita malang itu adalah antara ratusan penduduk Kampung Belimbing di sini, yang mengalami kerugian akibat bencana banjir besar menimpa daerah ini bermula 23 Disember lalu.

Dia yang menetap bersama suami, Zambri Zakaria, 63, berkata, mesin basuh yang baru dibelinya itu cukup penting untuk membasuh pakaian.

"Dalam kejadian jam 7 pagi itu, banjir mula menenggelamkan kediaman sehingga ke paras pinggang. Kami terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Teluk Bakong di sini sambil membawa mesin basuh itu.

"Kami penduduk kampung terpaksa tinggal sementara di pusat pemindahan itu selama enam hari. Sebaik pulang ke rumah, semua peralatan dan perabot lain musnah ditenggelami banjir" katanya sedih.

Bibah antara penerima sumbangan Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di sini, semalam.

Menurutnya, dia bersyukur masih ada pihak swasta dan persatuan yang membantu meringankan beban ditanggung.

Seorang lagi mangsa banjir, Roshimah Idris, 50, dari Kampung Teluk Bakong berkata, rumah dinaiki air sehingga 0.5 meter menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berpindah.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Harian Metro sudi datang menghulurkan pelbagai bantuan keperluan termasuk makanan.

Pada program itu, sejumlah 1,000 keluarga daripada 13 kampung di mukim Lambor di sini, menerima sumbangan TKHM membabitkan pelbagai barangan keperluan harian bernilai RM200 setiap keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 9:04 AM