AHLI jawatankuasa TKHM sedang memunggah barang sumbangan  untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Bota, Perak.
AHLI jawatankuasa TKHM sedang memunggah barang sumbangan untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Bota, Perak.
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) membuka tirai 2015 dengan menganjurkan misi bantuan untuk mangsa banjir di daerah Perak Tengah, Perak, bermula hari ini.

Misi dua hari itu disertai kira-kira 130 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB) dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad yang bergabung dengan ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders.

Ini adalah program bantuan bencana terbesar dilaksanakan TKHM bersama Tabung Bencana NSTP-Media Prima apabila 1,000 keluarga mangsa banjir dari 13 kampung di sekitar Lambor Kanan dan Lambor Kiri dalam mukim Bota diberikan bantuan barang keperluan harian seperti beras, minyak, tepung, makanan dalam tin dan alatan dapur bernilai RM200 bagi setiap keluarga.

Selain itu, sukarelawan TKHM akan turut membantu kerja pembersihan dan membaik pulih tiga sekolah agama rakyat (SAR) serta menyumbangkan pelbagai kelengkapan sekolah termasuk meja dan kerusi murid serta guru dan almari.

Sumbangan dalam bentuk al-Quran, sejadah dan barangan perabot turut diberikan kepada Surau Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan.

Nilai keseluruhan bantuan yang dihulurkan kepada 1,000 keluarga mangsa banjir dan tiga SAR serta sebuah surau itu berjumlah RM300,000 yang disumbangkan oleh orang ramai menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Pengerusi TKHM Othman Mamat berkata, misi ini diadakan atas dasar perikemanusiaan selain menjadi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro untuk membantu mangsa banjir yang menghadapi pelbagai kesusahan serta kehilangan harta benda akibat musibah ini.

Beliau yang juga Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu dan Rencana Harian Metro berkata, program itu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama kakitangan MPB dan NSTP sendiri serta PSSCM yang tampil menaja kos operasi bagi misi kali ini.

"Ini adalah program CSR terbesar dianjurkan TKHM setakat ini dan ia adalah satu cara Harian Metro mendekati masyarakat terutama golongan kurang bernasib baik selain menghargai sokongan mereka kepada akhbar nombor satu negara," katanya.

Konvoi misi bantuan ini yang terdiri sebuah bas, sebuah lori, tiga van dan lima kereta akan berlepas dari Balai Berita NSTP Bangsar jam 7.30 pagi dan dijangka tiba di Bota, Perak jam 11.30 pagi.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar akan melepaskan konvoi berkenaan sebelum turut serta dalam misi dan bergotong-royong bersama sukarelawan membersihkan kediaman mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:56 AM