BARANGAN yang diterima daripada wakil Tesco Aznan (tiga dari kanan) diserahkan kepada wakil penduduk kampung, Ridzwan (dua dari kanan).
BARANGAN yang diterima daripada wakil Tesco Aznan (tiga dari kanan) diserahkan kepada wakil penduduk kampung, Ridzwan (dua dari kanan).
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Seri Iskandar: Hampir 1,000 keluarga di mukim Lambor yang terjejas akibat bencana banjir pada Disember lalu, bersyukur dan berterima kasih kepada Harian Metro (HM) menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Misi Bantuan Mangsa Banjir di daerah Perak Tengah, dekat sini.

Penduduk menerima pelbagai barangan keperluan harian bernilai RM200 yang diagihkan secara berperingkat membabitkan 13 kampung di mukim berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua Lambor Kanan Ridzwan Mohamad berasa bertuah kerana nasib penduduk kampung yang di timpa banjir di daerah ini mendapat perhatian beberapa pihak yang sudi menghulurkan bantuan.

"Sebagai wakil penduduk kampung saya terharu dan berterima kasih kepada pihak HM yang memilih kampung kami bagi menjayakan program TKHM baru-baru ini," katanya selepas menerima beberapa sumbangan seperti baldi, mop lantai dan penyapu di Tesco Seri Iskandar, semalam.

Bagaimanapun, sumbangan berkenaan akan diambil secara peringkat menerusi wakil ketua kampung di daerah itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Tesco Seri Iskandar Aznan Kamar berkata, pihaknya menyambut baik usaha pihak korporat termasuk HM yang prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Sarawak serta Perak.

Sehubungan itu, pihak Tesco tidak mahu ketinggalan dalam menjayakan program amal dan kebajikan seperti TKHM itu.

"Pihak pengurusan Tesco menyeru semua 54 cawangan Tesco di seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam membantu proses pengagihan barangan keperluan kepada mangsa banjir terbabit di kawasan masing-masing.

"Ia secara tidak langsung dapat membantu melancarkan program berkenaan," katanya.

TKHM yang berlangsung selama dua hari di daerah Perak Tengah pada 24 dan 25 Januari lalu disertai 130 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB) dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad yang bergabung dengan ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders.

Selain itu, sukarelawan TKHM turut membantu kerja pembersihan dan membaik pulih tiga sekolah agama rakyat (SAR) serta surau selain menyumbangkan pelbagai kelengkapan sekolah termasuk meja dan kerusi murid serta guru dan almari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:39 AM