Limbang: Banjir di utara Sarawak khususnya di Batu Danau, Limbang semakin buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan di kawasan itu terus meningkat berikutan paras Sungai Batu Danau melebihi paras bahaya sejak semalam.

Tiga pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan 472 mangsa dari tiga kampung iaitu Kampung Bidang, Tedungan dan Menuang berikutan air Sungai Batu Danau melebihi paras amaran iaitu 1.8 meter.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, sekalipun aliran air Sungai Mendamit menunjukkan penurunan, namun kawasan di sekitar Batu Danau masih terjejas.

Menurutnya, tiga pusat pemindahan masih dibuka antaranya, Dewan Masyarakat Kampung Bidang menempatkan 403 mangsa, diikuti Dewan Serbaguna Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan (ICQS) untuk 20 mangsa dari Kampung Tedungan.

“Seramai 49 mangsa daripada 22 keluarga di Kampung Menuang dipindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Menuang. Kita merekodkan 17 sekolah di daerah ini ditutup berikutan ditenggelami banjir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 9:51 AM