Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan ada pihak cuba membuat tuntutan palsu wang bantuan ihsan banjir yang akan diagihkan kerajaan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya mengesan isi rumah yang menghantar dua borang tuntutan berbeza menggunakan nama suami dan isteri bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, berdasarkan syarat ditetapkan, satu isi rumah hanya boleh menghantar satu borang tuntutan.

“Kita mendapat maklumat ada beberapa borang yang ditolak pejabat DO (ketua jajahan) kerana ada mangsa banjir yang sengaja membuat dua tuntutan berbeza menggunakan nama suami dan isteri.

“Mereka tak tuntut dua kali tapi gunakan dua nama, namun di peringkat proses (nama) kita dapat kesan dan borang ini kita kembalikan,” katanya pada sidang media majlis taklimat Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu.

Hadir sama Pengarah SPRM Kelantan Datuk Abdul Aziz Aban.

Mustafar berkata, selain itu, pihaknya juga menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa memperoleh dua maklumat berbeza daripada dua penghulu berhubung tuntutan wang ihsan berkenaan.

“Petang semalam (kelmarin) orang awam itu mendakwa mempunyai dua rumah yang terbabit banjir dan dia dimaklumkan oleh seorang penghulu bahawa dia boleh membuat tuntutan untuk sebuah lagi rumah dengan menggunakan nama orang lain.

“Ini nasihat tidak tepat. Kami sedang kesan siapa yang terbabit, bukan untuk tangkap tapi untuk nasihat supaya tidak berulang,” katanya.

Justeru, katanya, dalam masa terdekat, pihaknya akan mengaturkan pertemuan dengan ketua jajahan dan penghulu bagi memberi taklimat mengenai pengagihan wang ihsan banjir itu untuk mengelakkan salah faham.

Menurutnya, sejak jawatankuasa itu ditubuhkan pada 13 Januari lalu, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan wujud unsur rasuah dalam pengagihan bantuan banjir kepada mangsa banjir.

“Sehingga semalam (kelmarin) kita menerima 50 panggilan daripada orang awam, kebanyakannya bertanyakan mengenai wang ihsan banjir itu.

“Kita belum terima sebarang aduan wujud unsur rasuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 8:15 AM