Kota Bharu: Hanya pemohon tulen disahkan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir yang ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) layak mendapat bantuan wang ihsan mangsa banjir disediakan Kerajaan Pusat.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata, jawatankuasa berkenaan mengesahkan kesahihan permohonan itu pada 12 Januari lalu.

Katanya, kewujudan jawatankuasa itu banyak membantu Jawatankuasa Kerja Pasca Banjir Kelantan menyalurkan sumbangan.

“Bagi memastikan hanya pemohon tulen menerima bantuan wang ihsan itu, kita membuat tapisan lebih awal dengan meminta mereka mengisi borang disediakan.

“Permohonan yang diterima akan dipertimbangkan supaya semua mangsa dapat bantuan secara adil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu amat penting dalam menyenaraikan mangsa banjir yang dilapor mencecah hampir 87,000 keluarga dengan jumlah lebih 300,000 mangsa di seluruh Kelantan.

Katanya, dengan kewujudan jawatankuasa juga secara tidak langsung boleh mendidik mangsa banjir supaya lebih bertanggungjawab dan jujur dalam mengemukakan maklumat yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 9:00 AM