ZARONDIN memberi nasihat kepada penduduk Kampung Banggol Nyior, Rantau Panjang supaya mengikut arahan untuk berpindah sekiranya air terus naik pada paras bahaya. FOTO Muhamaad Razis Ismail
ZARONDIN memberi nasihat kepada penduduk Kampung Banggol Nyior, Rantau Panjang supaya mengikut arahan untuk berpindah sekiranya air terus naik pada paras bahaya. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Rantau Panjang: Seramai 2,500 anggota tentera sudah bersiap sedia di 10 jajahan di Kelantan untuk menghadapi bencana banjir.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, pihaknya sudah berada di setiap jajahan sejak 25 November lalu untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, aset tentera iaitu sebanyak 41 bot turut ditempatkan di semua jajahan untuk digerakkan sekiranya banjir melanda.

"Untuk operasi banjir ini, kita mempunyai tiga fasa iaitu pra banjir, banjir dan pasca banjir dan semua anggota sudah bersiap sedia untuk digerakkan.

"Sekarang kita sedang membuat tinjauan dan berhubung rapat dengan penduduk kampung di kawasan yang ditenggelami air," katanya selepas membuat tinjauan selama sejam di enam kampung termasuk kampung Banggol Nyior, Kampung Banggol, Kampung Jejawi yang dinaiki air semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 2:45 PM