Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang membuat tuntutan palsu terhadap bantuan ihsan banjir yang akan diagihkan tidak lama lagi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan hukuman tegas mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

“Saya sudah minta supaya pada borang tuntutan bantuan itu turut ditambah satu lampiran aku janji menyatakan segala kenyataan diberikan adalah benar.

“SPRM bukan mahu menakutkan mangsa banjir tetapi amaran ini diberikan kepada pemangsa (bukan mangsa banjir) yang mengambil hak orang lain, ia seolah-olah mencuri bantuan orang lain,” katanya selepas melawat Kompleks SPRM Kelantan di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah SPRM Kelantan Datuk Abdul Aziz Aban.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM menerima 45 panggilan daripada mangsa banjir mengenai isu berkenaan banjir selepas penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima 36 panggilan mengenai pertanyaan umum berkaitan bantuan banjir manakala sembilan panggilan berkenaan aduan berkaitan tidak puas hati terhadap bantuan banjir.

“Maklumat yang kita peroleh ini kita salurkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Kassim turut mengalu-alukan sukarelawan pembersihan banjir untuk turut serta membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM mengenai isu berkaitan bantuan banjir.

“Mereka boleh bertindak sebagai mata dan telinga kepada SPRM dengan menyalurkan maklumat untuk tindakan lanjut dapat diambil oleh SPRM.

“Bagaimanapun, mereka akan diberi taklimat dan hanya bertindak sebagai penyalur maklumat, bukan sebagai pegawai atau anggota SPRM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:49 AM