GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Mangsa banjir di daerah ini yang masih belum menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) atau Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) boleh mengemukakan rayuan bermula hari ini.

Menurut Pejabat Daerah Batu Pahat, pihaknya mengakui masih ada mangsa yang masih belum menerima bantuan selepas bencana terbabit melanda daerah ini pada Mac lalu.

Katanya, sebahagian besar sudah menerima bantuan kewangan banjir Monsun Timur Laut (MTL) berdasarkan permohonan diterima sehingga 31 Mei lalu.

"Bagaimanapun, masih ada kalangan mereka belum menerima atau keciciran atas sebab-sebab tertentu.

"Justeru, bantuan MTL untuk Mac mula dibuka kepada penerima yang layak sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, penduduk yang terkesan akibat banjir boleh mengemukakan borang rayuan BWI atau BBKA yang boleh didapati di pejabat daerah bersama dokumen sokongan sebagaimana ditetapkan.

"Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti laporan polis yang dibuat sebelum atau selepas 31 Mei serta borang terbabit perlu disahkan sama ada penghulu, ketua kampung atau ketua masyarakat.

"Permohonan rayuan sudah lengkap perlu diserahkan sendiri oleh pemohon di bilik korporat, Pejabat Daerah Batu Pahat pada Ahad hingga Khamis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:43 PM