MANSGA banjir, Abu Bakar Ahmat, menyusun barang mengelak ditenggelami air di Kampung Teladas, Air Putih.
MANSGA banjir, Abu Bakar Ahmat, menyusun barang mengelak ditenggelami air di Kampung Teladas, Air Putih.
ANGGOTA pasukan penyelamat menyediakan makanan untuk mangsa banjir.
ANGGOTA pasukan penyelamat menyediakan makanan untuk mangsa banjir.
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Sebanyak 105 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan untuk menempatkan mangsa banjir di daerah ini.

Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, semua PPS itu akan dibuka apabila keadaan mendesak.

Beliau berkata, setakat ini dua PPS sudah dibuka iaitu di Guchil dan Kampung Mesek, Manek Urai yang menempatkan mangsa berjumlah 54 orang.

“PPS di Jabatan Veterinar di Guchil yang menempatkan 47 mangsa dibuka petang semalam (kelmarin) manakala di Kampung Mesek, Manek Urai (tujuh mangsa) dibuka pagi tadi (semalam).

“Kita yakin sekiranya jumlah mangsa banjir meningkat sekalipun, bilangan PPS ini cukup untuk menampung semua mangsa,” katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS di dewan Jabatan Veterinar di Guchil, di sini, semalam.

Seramai 47 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan sejak kelmarin.

Menurutnya, sebagai persediaan awal, pihaknya sudah membuka bilik gerakan untuk memantau keadaan banjir di daerah berkenaan.

“Setiap laporan mengenai banjir kita akan laporkan dari semasa ke semasa ke bilik gerakan di Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan Zainuddin Hussein yang turut melawat PPS berkenaan berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir.

“Biarpun keadaan masih terkawal, anggota kita seramai 4,000 orang dan aset sedia ada sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sekiranya banjir berlaku pada skala besar, kita mungkin akan dapatkan bantuan daripada JPAM negeri berhampiran bergantung kepada keperluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 10:04 AM