Ahmad Shabery   mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood (kanan) mengenai laman sesawang eBantuan Banjir di Cyberjaya, semalam.
Ahmad Shabery mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood (kanan) mengenai laman sesawang eBantuan Banjir di Cyberjaya, semalam.

Cyberjaya: Pelan sokongan khusus untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana pada masa depan terutama dari aspek telekomunikasi dibentangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelan itu menjadi alternatif sekiranya semua sistem komunikasi yang disediakan pembekal perkhidmatan telekomunikasi sedia ada terputus atau lumpuh akibat bencana yang berlaku.

“Kementerian mesti bekerjasama dengan semua pihak untuk membina satu sistem sebagai ‘Pelan B’ negara, insya-Allah perkara baru ini dilihat secara mendalam, kita kena ada alternatif sekiranya sistem komunikasi terputus. Apakah pilihan yang ada.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pihak lain, mesti ada ‘Pelan A, B dan C’, kerana bencana boleh datang dalam pelbagai cara dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Contohnya, kalau satu kawasan keseluruhannya terputus bekalan elektrik (akibat bencana), mungkin kita boleh menggunakan radio amatur, tetapi mesti ada sistem yang mengendalikannya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program komuniti ‘Bersamamu’ iaitu sistem mudah alih bersepadu dikenali e-Bantuan Banjir (eBB) yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata, persediaan menghadapi bencana juga perlu dipertingkatkan terutama dalam sistem respons kecemasan bencana supaya mangsa terbabit dapat dibantu segera.

Katanya, ketika ini kementerian hanya mempunyai sistem panggilan Malaysian Emergency Response System (MERS) 999 untuk mengendalikan panggilan kecemasan, tetapi belum mempunyai pengurusan telekomunikasi menguruskan bencana.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 29 kes vandalisme membabitkan menara telekomunikasi dilaporkan berlaku di Kelantan sepanjang banjir di negeri itu.

“Ketika dalam kesusahan ada juga yang mengambil kesempatan mencuri kabel, generator dan bateri di menara telekomunikasi,

“Nak ganti balik set generator bukan mudah kerana ia bukan boleh dibeli di sekitar kawasan itu, tetapi terpaksa menunggu dua atau tiga hari untuk dihantar. Ini antara cabaran yang kita hadapi,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 7:51 AM