Ahmad Shabery  (kiri) menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada  Leftenan Kolonel  (Bersara) Mohamed Aris Ariffin (duduk) yang uzur.
Ahmad Shabery (kiri) menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada Leftenan Kolonel (Bersara) Mohamed Aris Ariffin (duduk) yang uzur.

Chukai: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersiap sedia membuat penambah baikan talian telekomunikasi sebagai langkah menghadapi banjir di seluruh negara pada musim tengkujuh ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antara langkah diambil adalah memastikan semua ibu sawat telekomunikasi disediakan generator sebagai persiapan jika bekalan elektrik terputus akibat banjir bagi memastikan hubungan telekomunikasi tidak tergendala.

Selain itu, katanya, khidmat jururadio amatur digunakan sebagai menambah kepada sistem hubungan sedia ada bagi memastikan pelbagai pihak boleh berhubung antara satu sama lain ketika banjir melanda di mana-mana kawasan terbabit.

“Pada kali ini kita berharap peristiwa seperti tahun lalu tidak akan berulang lagi terutama ketika banjir besar melanda di Kemaman, sistem telekomunikasi tidak berupaya berjalan lancar menyebabkan beberapa pihak terbabit membantu mangsa banjir tidak dapat berhubung.

“Saya juga dimaklumkan peralatan elektrik di stesen telekomunikasi di kawasan rendah dinaikkan melebihi dua meter supaya tiada gangguan bekalan elektrik ketika banjir berlaku dan stesen pemancar telekomunikasi dapat berjalan dengan lancar,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada 20 veteren tentera di Resort World Kijal, dekat sini, semalam.

Menurutnya, melalui penambahbaikan yang dilakukan itu keadaan sistem hubungan telekomunikasi antara beberapa pihak yang terbabit membantu mangsa banjir seperti polis, bomba, tentera, Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain agensi berjalan lancar.

Katanya, sistem hubungan telekomunikasi dalam situasi banjir sangat penting bagi menyalurkan maklumat kepada mangsa terbabit dan dalam keadaan tertentu khidmat pesanan ringkas (SMS) juga boleh digunakan.

Terdahulu, ketika berucap di majlis sama, beliau berkata, pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha membantu mangsa banjir yang mempunyai sistem telekomunikasi canggih banyak membantu pihak lain.

“Saya kagum melihat ATM membantu mangsa banjir besar di Kemaman tahun lalu dengan sistem hubungan telekomunikasi yang baik dimiliki mereka. Justeru, saya menghargai jasa tentera yang berkhidmat membantu mangsa banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:25 AM