Sungai Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Sungai Skudai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Penduduk Kampung Pasir, Tampoi di sini, mula membuat persediaan untuk hadapi banjir dengan mengemas barangan mereka selain meletakkan barangan elektrik di tempat lebih tinggi dan selamat.

Tinjauan di Jalan Sukun, Kampung Bukit Pasir yang terletak hanya 200 meter dari Sungai Skudai, mendapati penduduk di situ sedang giat mengemas barangan mereka terutama pakaian selain meletakkan barangan di tempat lebih tinggi.

Selain itu, penduduk turut dilihat bersiap sedia membina tembok dan penghadang di hadapan pintu utama dan pintu dapur bagi mengelakkan air banjir memasuki kediaman masing-masing.

Penduduk kampung berkenaan, Rohani Nordin, 61, berkata, kebanyakan penduduk tidak lena tidur berikutan hujan sejak kelmarin.

Menurutnya, kawasan di situ sering banjir dengan paling teruk berlaku pada awal tahun ini, apabila air baik hampir dua meter menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda.

"Banjir pada awal tahun berlaku pada Subuh dengan air naik terlalu cepat sehingga banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

"Banyak pinggan mangkuk dan kelengkapan dapur yang dihanyutkan bah pada Januari lalu.

"Kali ini, saya dan anak sudah bersiap sedia lebih awal dengan mengemas barangan lebih awal termasuk membina rak yang lebih tinggi bagi menyimpan pinggan mangkuk, kelengkapan dapur dan barangan elektronik.

"Kami tidak lena tidur sejak hujan lebat turun sehari dua ini malah pihak berkuasa juga sudah membuat hebahan menerusi pembesar suara dari van yang lalu di kampung ini supaya penduduk bersedia terhadap kemungkinan banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Hari ini, media melaporkan Sungai Skudai di Kampung Pasir, Tampoi, di sini, dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak, melepasi paras bahaya setakat 11.30 pagi.

Dalam kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor hari ini, Sungai Skudai mencatat paras 0.53 meter berbanding aras bahaya iaitu 0.50 meter.

Sungai Kesang pula merekodkan paras 2.56 meter berbanding paras bahaya 2.50 meter.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi pada hari ini.

Amaran hujan berterusan peringkat buruk pula dikeluarkan terhadap Segamat dan Kluang, manakala Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan daerah ini pula diberikan amaran hujan berterusan peringkat waspada.

Seorang lagi penduduk Kampung Pasir, Rahmat Baba, 65, berkata, kediamannya terletak paling hampir dengan Rumah Pam Sungai Skudai, menyebabkan dia sentiasa memantau paras Sungai Skudai hampir setiap hari.

"Saya akan bersiap sedia setiap kali air sungai pasang dan hujan lebat berterusan berikutan bimbang air Sungai Skudai melimpah.

"Banjir pada awal tahun menyebabkan rumah saya dan penduduk lain tenggelam hingga hampir ke dada dengan banyak barangan tidak sempat diselamatkan berikutan ia berlaku ketika penduduk sedang tidur.

"Saya akan maklumkan kepada ketua kampung jika paras air Sungai Skudai hampir melimpah apatah lagi jika hujan lebat yang bertembung air pasang besar. Ia bagi membolehkan rumah pam menyedut air atau jika air masih melimpah, penduduk perlu dipindahkan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:05 PM