Phuket (Thailand): Bencana tsunami yang melanda Phuket pada 10 tahun lalu bukan saja meragut lebih 200 nyawa, malah mengubah bentuk muka bumi kawasan yang terkenal dengan keindahan pantainya.

Ini berikutan terdapat lokasi yang sebelum ini kawasan pantai kini dipenuhi batu dan serpihan batu karang yang dipercayai dibawa arus kuat.

Seorang peniaga, Ruchira, 41, mendakwa kawasan di belakang kedai makannya yang terletak di laluan ke Pantai Kamala dipenuhi batu besar dan serpihan batu karang sepanjang kira-kira satu kilometer selepas bencana tsunami melanda.

“Kawasan ini sebahagian Pantai Patong yang berpasir bersih, namun selepas tsunami ia dipenuhi batu besar,”katanya yang berniaga di situ sejak 12 tahun lalu.

Menurutnya, ketika tsunami, kedainya musnah dan dihanyutkan ke laut.

“Saya bernasib baik tidak berniaga pada hari itu namun kejadian itu tetap menakutkan saya kerana kemusnahan berlaku sekelip mata,”katanya.

Adiknya, Suhaila, 30, berkata mereka sekeluarga mengambil masa tiga bulan untuk memulakan kembali perniagaan mereka.

“Kami memindahkan kedai agak jauh sedikit dari tapak asal ke kawasan agak tinggi sedikit.

“Walaupun semasa kejadian, kami kehilangan tempat mencari rezeki, namun saya tetap bersyukur semua anggota keluarga terselamat,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:21 AM