Mohd Khidir Zakaria


KEGIATAN mencuri batu karang di Tanjung Tuan, Port Dickson yang dikatakan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini meresahkan orang ramai terutama nelayan pantai.

Malah nelayan mendakwa sering terserempak kelibat pencuri khazanah alam semula jadi yang bergerak secara berkumpulan di kawasan berkenaan.

Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 40-an, berkata pencuri sering datang ketika air surut membabitkan kumpulan tiga hingga lima individu.

Katanya, kumpulan terbabit menggunakan peralatan seperti penukul untuk memecahkan batu karang dan memasukkan dalam guni atau pelampung sebelum membawa ke kereta yang diparkir di tepi pantai di Batu 9.

"Kawasan ini memang terkenal dengan habitat terumbu karang yang menjadi tumpuan aktiviti snorkeling dan menyelam.

"Saya sering terjumpa serpihan batu karang yang sudah mati di tepi pantai dan melihat beberapa individu membawa guni dipercayai berisi batu karang yang dicuri di situ," katanya.

Zack berkata, terbaharu dia terserempak dengan tiga lelaki membawa beberapa guni di kawasan itu ketika air surut dan memasukkannya ke dalam kereta yang diparkir di kawasan berdekatan sebelum beredar.

"Adalah amat merugikan jika kegiatan mencuri batu karang ini tidak dibendung kerana selain merosakkan habitat hidupan laut, ia juga mengecewakan orang ramai yang datang ke sini untuk menikmati keindahan batu karang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Halimi Abu Hanip ketika dihubungi mengakui menerima aduan berhubung kegiatan itu dan melakukan pemantauan.

"Kelmarin, kami dapat aduan daripada orang awam berhubung kegiatan mengambil batu karang dari Kawasan Larangan Perikanan Tanjung Tuan itu.

"Bagaimanapun, kami tidak berjaya menahan individu yang melakukan perbuatan itu apabila mereka melarikan diri.

"Namun pemantauan akan diteruskan dan ia perlu mendapat kerjasama orang ramai untuk mengenal pasti pihak terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

SERPIHAN batu karang yang sudah mati di tepi pantai Batu 9, di belakang sebuah hotel tidak jauh dengan Tanjung Tuan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SERPIHAN batu karang yang sudah mati di tepi pantai Batu 9, di belakang sebuah hotel tidak jauh dengan Tanjung Tuan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Katanya, perairan Tanjung Tuan sejauh satu batu nautika dari pantai adalah Kawasan Larangan Perikanan yang diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 mengikut Akta Perikanan 1985.

"Dalam kawasan perairan ini, sebarang penangkapan ikan, pengambilan karang, tumbuhan akuatik atau apa-apa hidupan akuatik sekalipun adalah dilarang sama sekali.

"Individu boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 5:37 PM