Phuket (Thailand): “Semakin dekat dengan tarikh 26 Disember, saya semakin takut mendekati laut,” kata Zainab, seorang peniaga makanan berhampiran Pantai Patong di sini yang terperangkap dalam sebuah bangunan ketika bencana tsunami melanda kawasan itu, 10 tahun lalu.

Zainab, 39, berkata, bencana itu hampir meragut nyawanya selepas dia terperangkap di tingkat dua sebuah bangunan ketika cuba menyelamatkan diri.

“Walaupun seluruh anggota keluarga saya terselamat, namun ia tetap menjadi mimpi ngeri saya sampai bila-bila,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan trauma dengan kejadian itu, dia tidak lagi berani berniaga di kawasan pantai sebalik berpindah ke lokasi agak jauh dari laut.

“Ketika kejadian, saya baru memulakan perniagaan kira-kira jam 8 pagi sebelum suasana menjadi kecoh apabila orang ramai mendapati air laut tiba-tiba surut.

“Saya rasa tidak sedap hati kerana kejadian itu sangat luar biasa. Sebelum saya sempat melakukan apa-apa, ombak besar sudah datang menyebabkan keadaan kelam-kabut,” katanya.

Zainab berkata, dalam keadaan panik, dia masuk ke sebuah bangunan dan cuba naik ke tingkat tiga untuk menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, baru sampai ke tingkat dua, saya sudah ditolak arus deras menyebabkan saya rapat ke dinding bangunan,” katanya.

Menurutnya, selepas air surut, perkara pertama yang terlintas ialah keselamatan keluarganya terutama dua anak lelakinya yang ketika itu berusia lima dan enam tahun yang berada di rumah di daerah Surin.

“Saya tidak boleh pulang ke rumah kerana menjadi kawasan larangan dan dihantar ke penempatan sementara. Selama dua hari saya berusaha menghubungi sanak saudara dan akhirnya diberitahu anak saya selamat,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Solehah (gambar), 32, berkata, setiap kali tiba tanggal 26 Disember setiap tahun, penduduk akan mengadakan upacara doa mengikut agama masing-masing bagi mengelak bencana itu berulang.

“Saya sebagai penduduk Islam bersama rakan akan mengadakan solat hajat dan berdoa semoga bencana yang mengorbankan ratusan nyawa itu tidak lagi berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:21 AM