ABDUL Muniff menyerahkan mas kahwin kepada Mas Normuharni selepas majlis akad nikah, semalam.
ABDUL Muniff menyerahkan mas kahwin kepada Mas Normuharni selepas majlis akad nikah, semalam.

Sungai Petani: Perkenalan pasangan pelakon Abdul Muniff Md Isa, 32, dan Mas Normuharni Sheikhah Mohd Sattar, 28, ketika melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sejak 2004 sebelum menyulam cinta selama lima tahun berakhir di jenjang pelamin apabila diijabkabulkan, semalam.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Kapten (B) Mohd Sattar Saad dengan sekali lafaz sambil disaksikan Imam Abdul Rahman Abdul Kadir Jailani dan sanak saudara di Masjid Bandar Puteri Jaya di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Sebaik selesai akad nikah, Abdul Muniff menyarungkan cincin ke jari Mas Normuharni dan menyerahkan mas kahwin RM300, senaskah al-Quran dan wang hantaran RM20,000.

Pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran sebelum pihak perempuan membalas sembilan dulang.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Mat Isa Sabu dan Datuk Asiah Asmuni yang juga ibu bapa Abdul Munif, serta ibu Mas Normuharni, Rohani Salleh.

Mas Normuharni berkata, detik perkenalan bermula ketika mereka bersama menuntut dalam Diploma Seni Persembahan di UiTM Shah Alam, namun hubungan pada awalnya hanya rakan sekuliah.

Menurutnya, selepas menamatkan pengajian, mereka meneruskan persahabatan yang terjalin dan tidak terfikir untuk bercinta, namun hubungan menjadi bertambah rapat pada 2009 sebelum mula serius dengan bibit percintaan.

“Selepas lima tahun menyemai cinta, kami semakin serasi dan mengambil keputusan untuk menjadi pasangan suami isteri tahun ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya berasa lega kerana selamat menjadi isteri kepada Abdul Muniff.

“Sebelum ini, ramai bertanya bila mahu berkahwin apabila mengetahui perhubungan kami. Ada yang kata kawan sudah lama, bila lagi mahu mendirikan rumah tangga? Saya bersyukur segalanya sudah selesai,” katanya selepas kenduri di Taman Batik di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:06 AM