NUR Hidayah (tengah) berkongsi kegembiraan bersama bapa, Mohd Teridi Hashim (kanan) dan ibu, Noorsiah Abd Latif selepas dinobatkan graduan. FOTO Saifullizan Tamadi
NUR Hidayah (tengah) berkongsi kegembiraan bersama bapa, Mohd Teridi Hashim (kanan) dan ibu, Noorsiah Abd Latif selepas dinobatkan graduan. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sentiasa berkongsi ilmu bersama rakan dan melakukan kebaikan menjadi rahsia kejayaan seorang graduan cemerlang Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur (KPBKL).

Nur Hidayah Mohd Teridi, 28, yang juga graduan Diploma Pengurusan Industri Halal menyifatkan kejayaannya adalah hasil perkongsian ilmu yang sering diamalkan bersama rakan sekuliah.

Dia yang juga penerima Anugerah Anugerah Pingat Emas Menteri berkata, dia tidak lokek ilmu dan sentiasa mengajar rakan sekuliah jika diperlukan.

"Saya menjadi rujukan dan akan membantu sehabis baik serta berkongsi pengetahuan yang ada bersama rakan sekuliah.

"Saya percaya disebabkan itu saya meraih kejayaan yang amat bermakna disebabkan saya pernah jatuh tersungkur dahulu," katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-14 KPBKL di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, 694 graduan menerima Diploma dan Sijil Profesional United Kingdom.

"Peranan utama KPBKL adala untuk membina dan membangunkan modal insan yang beretika, berkemahiran, bertanggungjawab dan komited adalah begitu besar.

"Saya berharap ilmu dan pengalaman yang digarap ketika di KPBKL MAIWP bukan saja dapat digunakan untuk merebut peluang pekerjaan tetapi dimanfaatkan untuk masyarakat setempat demi kelestarian kehidupan,"katanya.

Menurutnya, KPBKL juga disaran untuk mengambil langkah yang lebih agresif dalam membangunkan kurikulum baru bagi memenuhi keperluan industri sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Langkah ini akan memperlengkapkan KPBKL sebagai pusat kecemerlangan akademik yang unggul di rantau ini dan akan berupaya memberi faedah dan manfaat kepada institusi-institusi yang lain terutamanya di Wilayah Persekutuan, seterusnya membina nama dan kedudukan yang lebih baik di peringkat nasional dan antarabangsa,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 3:31 PM