Oleh Sudirman Mohd Tahir

Ketika ada segelintir pelakon lelaki menolak membawakan watak lelaki lembut dalam drama mahupun filem, Dafi, 27, berani menyahut cabaran produksi Mask Team menerusi teater Maduku Kalut Returns bagi melakonkan watak sedemikian.

Malah, bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima ini juga tidak takut jika lakonannya itu memberi impak kepada dirinya hingga digelar lelaki lembut.

“Dulu saya fikir banyak perkara menakutkan, tapi saya rasa masyarakat hari ini sudah bijak dan tahu membezakan kehidupan sebenar dan lakonan. Jika masih ada tak dapat membezakannya, itu saya tak boleh nak kata apa.

“Kasihan pada mereka kerana mudah terpengaruh dengan apa yang disaksikan di kaca TV, layar lebar mahupun pentas. Apabila saya bersetuju berlakon dalam teater ini, tak timbul isu takut dicop lelaki lembut. Saya hanya sebagai pelakon dengan menjayakan watak diberikan,” katanya.

Pernah terbabit menerusi teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Kenangan Mengusik Jiwa 60-an dan Dreamgirls, Dafi sekali lagi akan pastikan dapat mempelajari perkara baru bagi setiap tawaran lakonan dan bukannya sekadar tangkap muat.

Membawakan watak Amy Amiro seorang lelaki berperwatakan lembut dan hiperaktif sedikit sebanyak menyukarkan Dafi menjiwai watak terbabit.

“Jujurnya, saya penat melakonkan watak ini. Saya jenis pendiam, jadi agak terkejut apabila perlu beraksi sebaliknya. Namun, saya beruntung kerana mengenali ramai golongan begitu. Jadi saya boleh tanya mereka terus.

“Selain itu, sebagai rujukan saya banyak menonton lakonan Imuda di dalam sitkom 2 + 1. Dalam masa sama, pengarah dan pelakon lain juga banyak membantu. Memandangkan mereka lebih berpengalaman, banyak ilmu dikongsi,” katanya.

Dua tahun lalu, watak terbabit pernah dilakonkan Karl Shafek menerusi pementasan sama Maduku Kalut di Lambang Sari, Istana Budaya. Lakonannya itu berjaya mencuit hati penonton serta mendapat pujian ramai.

Ditanya tidakkah dia bimbang jika ada membandingkan mutu lakonannya dengan pelakon dan pengacara itu, Dafi punya jawapan tersendiri.

“Perkara itu saya tak boleh nafikan. Saya okay kerana selera penonton berbeza, tapi saya cuba memberi kelainan di dalam watak ini supaya penonton tidak bosan.

“Saya tidak berkecil hati kerana ada bagusya jika wujud tekanan dalam bekerja. Itu boleh membuat­kan saya lebih bekerja keras dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Satu cabaran lagi buat anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri Yaakob ini apabila tempoh latihan hanya sebulan.

“Saya berharap penonton suka dan terhibur dengan watak ini. Ia memang berbeza 100 peratus daripada diri sebenar. Jangan fikir itu saya atau cuba bandingkan dengan pelakon sebelum ini,” katanya.

Selain Dafi, teater arahan Muhd Azhar Zainal ini turut menampilkan pelakon popular lain seperti Remy Ishak, Nad Zainal, Jihan Muse dan Sherry Alhadad akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 7-9 Ogos depan.

Rakam album di Indonesia

Dafi baru pulang dari Jakarta, Indonesia bagi proses rakaman album terbarunya bersama komposer dan penyanyi terkenal, Ahmad Dhani.

Memuatkan 10 lagu, album yang 50 peratus siap itun dilancarkan pada awal tahun depan.

“Selepas lapan tahun dalam industri muzik, saya bekerja dengan ramai komposer tempatan. Jadi tak perlu timbul isu saya mengangkat atau mengutamakan orang luar. Lagi pula, dalam bidang nyanyian baru kali ini saya mahu melebarkan sayap dengan bekerjasama bersama komposer luar.

“Pada saya, kenapa nak dipersoalkan perkara terbabit sedangkan jika bekerja dengan komposer dari negara lain mereka lebih dibanggakan. Sedangkan mereka juga orang luar. Jadi saya tak faham kenapa wujud sikap ‘double standard’. Apa pun, itu pendapat masing-masing,” katanya.

Yakin dengan kelebihan dimiliki Ahmad Dhani, Dafi meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap kualiti muzik dan lagu diberikan.

“Saya berharap kerjasama ini dapat menembusi pasaran muzik di sana. Walaupun penjualan album buat masa sekarang kurang memberangsangkan, saya tidak jadikan ia satu masalah.

“Tujuan saya hanya mahu tampil dengan album berkualiti. Jadi semoga peminat di Malaysia dan Indonesia dapat menerima album ini dan terus menyokong kerjaya seni saya,” katanya.

Memikirkan pasaran semasa, jelas Dafi dia tidak mahu terlalu kecewa sebaliknya gembira dan berbangga dapat bekerjasama dengan individu yang diimpikan dan dihormati dalam bidang muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 9:44 AM