MOTOSIKAL mangsa terbakar selepas kemalangan. Gambar kecil, Abdul Rauf.
MOTOSIKAL mangsa terbakar selepas kemalangan. Gambar kecil, Abdul Rauf.

Tapah: Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tapah, di sini, maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 335.3 Lebuhraya Utara-Selatan, menghala Utara, di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati, kemalangan maut itu berlaku di depan mata adiknya sendiri.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa, Abdul Rauf Ramli, 16, baru selesai bertemu rakannya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah bersama adiknya yang berusia 14 tahun dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Lorong Abdullah Sani, Kampung Batu 3, Jalan Pahang, di sini dengan menunggang motosikal berasingan.

Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu keluar dari rumah kira-kira jam 9.30 malam bersama adiknya dengan menunggang motosikal masing-masing untuk ke pasar malam di Taman Indah.

“Saya menunggu mereka yang membeli makanan untuk saya di pasar malam, namun sehingga jam 12 tengah malam mereka masih belum pulang dan pada ketika itu saya sudah mula tidak sedap hati.

“Dia langsung tidak memberitahu saya yang dia akan ke R&R kerana mungkin dia tahu saya tidak akan mengizinkan jika dia meminta untuk ke sana,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tapah, di sini semalam.

Bagaimanapun, adik mangsa yang menyaksikan kemalangan maut itu tiada bersama di bilik mayat dan hanya berehat di rumah kerana trauma.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125z dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian sebelum motosikalnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

“Kejadian mengakibatkan mangsa tercampak beberapa meter ke tengah jalan dan motosikal mangsa terbakar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:32 AM