Loh maut selepas kereta dipandunya terbabas di kilometer 334.6 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat R&R Tapah, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Loh maut selepas kereta dipandunya terbabas di kilometer 334.6 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat R&R Tapah, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Muhamad Izzat Nasuruden


Tapah: Seorang lelaki maut manakala tiga pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) cedera dalam kemalangan di kilometer 334.6 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat R&R Tapah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa Loh Chun Xian,26, meninggal dunia ditempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya terbabas dan melanggar tiga pekerja Propel sebelum merempuh lori milik syarikat itu.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati pekerja syarikat itu sedang menyimpan barang di dalam lori yang di parkir di lorong kecemasan selepas selesai melakukan kerja penyelenggaraan di lokasi berkenaan.

Katanya, mangsa dari arah utara ke selatan dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiga pekerja yang berada di belakang lori berkenaan sebelum merempuh lori itu.

"Pemandu kereta Myvi maut ditempat kejadian selepas parah di beberapa bahagian anggota badan dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Tiga pekerja Propel masing-masing mengalami kecederaan patah kaki kiri, cedera di kepala dan patah kaki serta tangan sebelum dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan ," katanya.

Som Sak berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 12:03 AM