GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman


LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori yang diletakkan di lorong kecemasan di Kilometer 354 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, di Tapah, malam tadi.

Kejadian 8 malam itu menyebabkan mangsa Chong Pinn Onn, 71, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Sungkai menghala ke Ipoh ketika kemalangan berlaku.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave merempuh bahagian belakang lori yang diletakkan di lorong kecemasan.

"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu lori berusia 28 tahun tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Pejabat Polis Daerah Tapah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer Kenderaan (PUSPAKOM).

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 8:38 AM