Balik Pulau: Akibat lewat menghadiri program keagamaan di surau, seorang pelajar lelaki membuat laporan polis, kelmarin selepas dirotan pelajar senior di sebuah sekolah agama di sini.

Kejadian berlaku jam 7.30 malam Khamis lalu apabila mangsa berusia 13 tahun sampai di surau berkenaan sebelum dipanggil seorang pelajar senior lelaki berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan, kejadian berlaku Khamis lalu sewaktu mangsa tiba lewat di surau dan sebagai denda dia dirotan di bahagian kaki oleh seorang pelajar senior.

Beliau berkata, pada mulanya mangsa tidak menceritakan kepada keluarganya mengenai kejadian yang berlaku ketika pulang ke rumah hujung minggu di rumahnya.

“Bagaimanapun, bapa mangsa terlihat kesan lebam pada kaki mangsa lalu bertanyakan mengenai kejadian sebenar dan mangsa memberitahu dia dirotan pelajar senior.

“Bimbang akan kejadian buli berlaku di sekolah anaknya, bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Balik Pulau jam 12 tengah hari semalam (kelmarin) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lai berkata, berikutan laporan polis yang dibuat bapa mangsa, satu pemeriksaan dibuat di sekolah agama berkenaan untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

Beliau berkata, polis turut menahan suspek yang disyaki memukul mangsa selain mengambil keterangan dan hasil siasatan awal, suspek mengaku memukul mangsa dengan menggunakan rotan.

“Suspek memberitahu kejadian berlaku mangsa lewat datang ke surau untuk menyertai aktiviti diadakan dan polis turut merampas rotan yang digunakan untuk memukul mangsa.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:18 AM