Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan dibentang pada Mei depan adalah langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan akan memberi keutamaan kepada projek berimpak tinggi dengan kos yang rendah.

“Di samping itu, pendekatan diutarakan dalam Bajet 2015 bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat di mana saya membahagikan pengurusan ekonomi kita kepada dua bahagian yakni ‘capital economy’ (ekonomi modal) dan ‘people economy’ (ekonomi rakyat),” katanya dalam siaran radio Perdana Menteri yang dimuat naik dalam laman web najibrazak.com semalam.

Najib juga yakin negara berada di landasan tepat dan berpandangan positif bahawa Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang 2020 berbekalkan pendekatan dirancang itu.

Pada 10 Oktober, Perdana Menteri membentangkan Bajet 2015 yang memperuntukkan RM273.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, dianggap pelengkap 10 Rancangan Malaysia.

RMK-11 akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:13 AM