Festival LAMPU 2015 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Festival LAMPU 2015 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini disinari dengan pelbagai cahaya lampu warna-warni selama tiga hari menerusi penganjuran Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2015 bermula hari ini hingga Ahad.

Festival berkenaan bermula 7.30 malam hingga 12 tengah malam berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3 memasuki penganjuran kali ketiga pada tahun ini.

Ia dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menerusi festival itu, pengunjung berpeluang melihat komponen menarik seperti teknik pemetaan cahaya, pencahayaan taman, arca bercahaya, gerbang cahaya dan beberapa aktiviti lain.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan serta dihadiri Presiden PPj Datuk Hasim Ismail.

Antara aktiviti lain yang berlangsung sempena LAMPU 2015 adalah persembahan Tron Dance; nyanyian jalanan; permainan pencahayaan kreatif dan beca bercahaya selain pertunjukan wayang kulit serta pertandingan fotografi.

Penganjuran festival itu mirip kepada Festival Cahaya Antarabangsa yang sering dianjurkan bandar raya terkemuka dunia, antaranya Festival Cahaya Lyon, Festival Cahaya Amsterdam, Festival Cahaya Berlin dan festival cahaya terkemuka Eropah, Matters.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:57 PM