PUTRAJAYA diterangi dengan lampu berwarna-warni yang cukup menakjubkan.
PUTRAJAYA diterangi dengan lampu berwarna-warni yang cukup menakjubkan.
PANORAMA indah Istana Kehakiman yang diterangi dengan lampu berwarna-warni.
PANORAMA indah Istana Kehakiman yang diterangi dengan lampu berwarna-warni.
PENGUNJUNG terpesona melihat keindahan malam di Putrajaya sempena Festival Light and Motion Putrajaya.
PENGUNJUNG terpesona melihat keindahan malam di Putrajaya sempena Festival Light and Motion Putrajaya.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya kelihatan bergerak-gerak dan menari mengikut pelbagai rentak lagu, malah kadangkala ia seolah-olah mahu runtuh.

Jangan bimbang. Bangunan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu masih kukuh dan utuh serta kekal di situ sehingga kini.

Sebenarnya, pemandangan menarik yang disaksikan itu dapat dilihat sepanjang tiga malam berturut-turut bermula 30 Oktober lalu itu adalah keunikan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2015.

Festival bermula sekitar jam 7.30 malam serta berakhir jam 12 tengah malam dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.

Tidak seperti pemandangan biasa, bangunan Istana Kehakiman kelihatan berwarna-warni dengan pelbagai imej seolah-olah 3D dipancarkan di seluruh bangunan.

Bukan setakat cahaya lampu, kadangkala kelihatan imej seperti belon, gula-gula dan corak bunga di situ. Bertambah cerita dengan pelbagai lagu yang dipasang.

Ada juga maklum balas ‘nakal’ daripada pengunjung mengatakan, kemungkinan bayaran bil elektrik tinggi pada bulan ini gara-gara penganjuran LAMPU 2015.

Hakikatnya, ia menggunakan ‘Project Mapping’ atau pemetaan cahaya membabitkan teknik dan teknologi terkini, sekali gus menghasilkan paparan bentuk 3D pada bangunan bagi menonjolkan keunikan perincian seni binanya.

Teknik khusus dan gabungan pelbagai motif diterapkan bukan sahaja pada bangunan Istana Kehakiman, malah pintu gerbang Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Keindahan cahaya lampu juga boleh dilihat menerusi aktiviti lain seperti arca, gerbang dan beca bercahaya selain kayuhan basikal bercahaya.

Selain itu, pekarangan Kompleks PPj juga kelihatan ‘aktif’ dengan kunjungan orang ramai kerana kawasan persekitaran taman di situ turut dihiasi dengan cahaya.

Acara lain yang turut dinantikan pengunjung sudah tentu tarian ‘Tron Dance Performance’. Penari memakai persalinan hitam dan gelap manakala kostum yang disarung terdapat lampu pelbagai cahaya.

Dengan kreativiti masing-masing, mereka menari mengikut rentak lagu dan kadangkala kelihatan seolah-olah hilang dari pandangan.

Penganjuran LAMPU 2015 kali ketiga tahun ini dan diadakan sejak 2013. Kali pertama diadakan, ia menarik 500,000 pengunjung dan berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

LAMPU 2015 menyokong usaha global ‘Lighting Urban Community International’ (LUCI), satu rangkaian antarabangsa yang unik ditubuhkan untuk mengetengahkan lampu LED serta kemajuan industri lampu dalam usaha menjimatkan penggunaan kuasa elektrik.

Pada masa sama, acara itu turut memberikan peluang kepada pengunjung bersama merasai senario pencahayaan terkini.

Secara tidak langsung, ia memberi pendedahan kreativiti dan kemahiran pencahayaan menerusi kecantikan projeksi lampu selaras dengan perkembangan industri lampu di negara ini.

Acara berkenaan diadakan serentak dengan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2015 (PIIACUF 2015) dan kedua-duanya masuk secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 9:13 AM