Suasana Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2016 di Dataran Putrajaya, Presint 3 yang membuka tirainya malam ini. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Suasana Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2016 di Dataran Putrajaya, Presint 3 yang membuka tirainya malam ini. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Edisi keempat Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2016 di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini, bermula malam ini.

Program tahunan yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mula dibuka kepada pengunjung jam 7.30 malam tadi sehingga 12.30 tengah malam selama tiga hari berakhir Ahad ini.

Majlis perasmian LAMPU 2016 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan di mana ia turut dihadiri Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail serta dimeriahkan dengan kehadiran ribuan pengunjung.

Pelbagai pengisian dan program sampingan diperkenalkan termasuk Taman Hiasan Bercahaya; Struktur Bercahaya; Pameran Kereta dan Beca Bercahaya; Pameran Motosikal Bercahaya Berkuasa Tinggi; Pertunjukan Wayang Kulit; Permainan Interaktif Digital; Pertandingan Kreativiti Bercahaya 3R dan Forum LAMPU bertajuk Dimensi.

Sebagaimana penganjuran tahun sebelumnya, Istana Kehakiman masih menjadi 'hero utama' dimana bangunan ikonik itu menjadi latar persembahan bagi pemetaan bercahaya yang menggunakan teknik pencahayaan berteknologi tinggi dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Tahun ini, beberapa kelainan di bawa termasuk LAMPU Skywave yang menggunapakai teknologi 'seni pergerakan bebola bercahaya' dan Fusion Peperangan Bintang iaitu persembahan wayang kulit versi Star Wars bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks PPj.

Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api digital yang akan dipersembahkan bagi meraikan detik ambang tahun baru 2017 di Dataran Putrajaya malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 10:00 PM