AIRENE Alang, 35, berswafoto merakam kenangan gambarnya berlatar belakangkan Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama
AIRENE Alang, 35, berswafoto merakam kenangan gambarnya berlatar belakangkan Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Apabila matahari melabuhkan tirai cahayanya, bermulalah pula pancaran cahaya lampu kombinasi warna biru, kuning, merah dan putih yang membawa simbolik Jalur Gemilang di Perdana Putra, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana dan air pancut di Tasik Putrajaya.

Begitulah pemandangan warna warni rutin yang menyinari empat lokasi ikonik di Putrajaya itu bermula dari 7 malam hingga 12 tengah malam setiap hari sejak 7 Ogos lalu hingga 16 September ini. Ia bukan hanya menceriakan suasana, malah meresapkan rasa kecintaan penduduk pada negara sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Airene Alang, 35, berkata pemerhatiannya mendapati semangat kemerdekaan yang dapat disambut atau ditonjolkan secara fizikal, kurang dirasai dalam situasi pandemik covid-19 kini.

"Tapi bila nampak bangunan Perdana Putra dengan lampu yang sama dengan warna bendera Malaysia, ia sedikit sebanyak memberi harapan dan semangat, bahawa Hari Kebangsaan tetap ada dan perlu dirai walau dalam suasana yang sederhana," kata.

Dia yang menetap di Presint 18 mengakui, merindui saat untuk melihat persembahan dan perbarisan kontinjen-kontinjen dan aset-aset negara pada 31 Ogos, namun akur pandemik covid-19 tidak memungkinkan ia berlaku.

"Kerinduan terhadap kemeriahan warna-warni perarakan dan persembahan formasi pesawat pejuang di awan biru sedikit terubat, dengan keceriaan malam di Putrajaya," katanya yang akan mengamati pemandangan lampu-lampu berkenaan apabila berbasikal untuk beriadah.

Siti Paridah Busairi, 34, pula berkata, dia tertambat dengan kecantikan warna warni seakan Jalur Gemilang di Jambatan Seri Wawasan, dan terus mengingatkannya tentang Bulan Kebangsaan.

"Sedikit sebanyak dengan pemasangan lampu hiasan sebegitu sememangnya mampu mencetuskan semangat kemerdekaan dalam jiwa sesiapa yang melihatnya," katanya.

"Kita perlu syukuri, sebagai seorang warganegara Malaysia, meskipun kita sedang diuji dengan penularan wabak namun sekurang-kurangnya kita masih mampu hidup dalam keadaan selamat dan aman, dalam negara yang harmoni," katanya lagi.

Mengenai erti kemerdekaan bagi dirinya, Siti Paridah berkata pandemik Covid-19 mengajarnya untuk lebih menghargai kebebasan yang dikecapi sebelum ini.

"Kalau sebelum ini kita selalu mengabaikan nikmat kebebasan bergerak dan menjalani rutin harian di luar seperti bekerja, membeli-belah, riadah bersama keluarga, lepak makan bersama kawan-kawan di kedai makan dan melancong ke serata destinasi menarik dalam dan luar negara, namun bila terkurung untuk tempoh masa yang lama membuatkan erti 'kemerdekaan' itu begitu sayu dirasai," katanya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, Program Pencahayaan Malam Putrajaya diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

"Selain empat lokasi berkenaan, beberapa bangunan kerajaan dan swasta di Putrajaya turut dipancarkan dengan pencahayaan berbentuk 'External to Festive Light (Warm White)' dan 'internal lighting' (pencahayaan dalaman) untuk memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini," katanya.

Menurutnya, 31 bangunan antaranya Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan, Istana Kehakiman, Kementerian Pengangkutan dan Dorsett Hotel Putrajaya, diterangi dengan cahaya 'warm white', manakala tiga bangunan iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di Presint 3 pula. dipancarkan 'internal lighting'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 3:30 PM