KEADAAN Istana Kehakiman yang bercahaya ketika perasmian oleh Adnan.
KEADAAN Istana Kehakiman yang bercahaya ketika perasmian oleh Adnan.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Tujuh bangunan ikonik di Presint 2 dan 3 di sini mula ‘bermandi’ cahaya sejak malam kelmarin menerusi penganjuran Light And Motion Putrajaya (LAMPU) 2014 selama tiga hari berakhir hari ini.

Pusat pentadbiran kerajaan membabitkan tujuh bangunan yang selama ini dilabel lesu selepas tamat waktu bekerja kini dihias dengan limpahan pancaran lampu dan cahaya pelbagai warna.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tujuh bangunan berkenaan termasuk bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Menara Usahawan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Audit Negara, Istana Kehakiman, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj).

Beliau berkata, penganjuran LAMPU diilhamkan bagi mengetengahkan elemen kemodenan dan kemajuan industri pencahayaan di Malaysia sekali gus memartabatkan inisiatif pencahayaan bandar khusus di Putrajaya supaya ia lebih sistematik.

“Penganjuran yang sebelum ini dikenali sebagai Putrajaya Lighting Festival dianjurkan kembali sejajar dengan ‘Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya’ iaitu memaparkan teknik keindahan dan keunikan pencahayaan bandar dalam taman terutama pada dan struktur di Putrajaya.

“Justeru, LAMPU 2014 diperkenalkan bagi mengetengahkan konsep reka bentuk cahaya berteknologi tinggi, interaktif dan pintar selain memanfaatkan revolusi radikal LED sebagai sumber pencahayaan menjimatkan,” katanya ketika berucap selepas merasmikan LAMPU 2014 di sini semalam.

Katanya, pihaknya bersama PPj mempunyai perancangan agar jumlah kawasan terbabit dengan program itu dapat dikembangkan kepada setiap bangunan di sepanjang Persiaran Perdana.

Tengku Adnan berkata, beliaumempelawa pelbagai pihak daripada sektor kerajaan dan swasta menyertai penganjuran itu pada masa akan datang.

“Tarikan utama LAMPU 2014 pastinya pemetaan cahaya pada permukaan bangunan, ia akan menghidupkan struktur itu dengan permainan cahaya dan lampu.

“Selain itu, beberapa aktiviti lain dianjurkan termasuk permainan pencahayaan interaktif, pameran automotif bercahaya, kayuhan basikal, beca bercahaya, mini expo IT dan forum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:11 AM