DARI kiri Ahmad Baihaqi, Nur Hidayah, Zeqry Iskandar dan Muhammad Badrul gembira produk berhasil.
DARI kiri Ahmad Baihaqi, Nur Hidayah, Zeqry Iskandar dan Muhammad Badrul gembira produk berhasil.

Shah Alam: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail, Terengganu, menjadi satu-satunya sekolah yang menghantar penyertaan pelajar untuk bertanding dalam pertandingan ‘Anugerah Rekacipta Matematik 2014’ anjuran Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) di sini, kelmarin.

Lebih manis penyertaan kali pertama yang turut disertai 100 institusi pengajian tinggi (IPT) itu membolehkan sekolah itu mendapat saguhati menerusi produk ‘Bijak Pembinaan Geometri Bersama Pad Lakaran Geometer (GSP).

Ketuanya Zeqry Iskandar Zuraidy, 14, berkata, projek itu berbentuk perisian dalam cakera padat yang mengandungi butir pengajian dan maklumat pengajaran berkaitan mata pelajaran Matematik membabitkan geometri.

“Projek itu bertujuan membantu pelajar lebih cepat dan mudah untuk memahami mata pelajaran Matematik kerana ia berbentuk visual dan berwarna warni.

“Projek itu juga boleh dianggap sebagai bahan bantuan mengajar kendiri yang sangat efektif kerana pelajar boleh menggunakannya berulang kali sama seperti buku teks tetapi ia lebih interaktif dan menarik,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di sini kelmarin.

Projek yang turut dihasilkan Muhammad Badrul Amin Mustaffa, 16, dan Ahmad Baihaqi Che Mohd Ruzli, 15, itu memenangi Anugerah Rekacipta GSP Kategori Menengah Rendah di Terengganu pada tahun ini.

Perisian GSP membolehkan pelajar memahami subjek Matematik dengan lebih mendalam melalui pembinaan geometri daripada fungsi linear sehinggalah ke fungsi trigonometri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:17 AM