AZIZ menunjukkan modul Azimat Matematik ciptaannya yang boleh dipelajari melalui telefon pintar. FOTO Nor Amalina Alias
AZIZ menunjukkan modul Azimat Matematik ciptaannya yang boleh dipelajari melalui telefon pintar. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

SEORANG guru di Kota Bharu mencipta sistem perisian memudahcara sukatan pelajaran matematik bagi pra sekolah dan sekolah rendah yang diguna pakai di empat negara.

Modul ciptaan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1, Aziz Mamat, 54, digunakan di India, Korea, Amerika Syarikat serta Malaysia itu turut diiktiraf Pendidik Inovatif Microsoft (MIE) oleh Microsoft Antarabangsa pada 2014.

Aziz berkata, idea mewujudkan pengajaran dan pembelajaran (PDP) matematik dalam bentuk digital direka pada 2003 hasil pengalaman menjadi guru matematik selama 30 tahun.

Katanya, melalui modul yang dikenali sebagai Azimat Matematik, beliau memudahcara sukatan pelajaran matematik bagi pra sekolah usia antara 4 hingga 6 tahun dan mata pelajaran matematik bagi peringkat sekolah rendah iaitu darjah satu hingga enam.

"Sistem ini diperbuat daripada Microsoft Multimedia dan diadaptasi dengan perisian mengikut sukatan mata pelajaran terkini Kementerian Pendidikan dengan cara lebih seronok dan interaktif," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, modul itu boleh dimuat turun dalam video, portal, pemacu pena (pendrive), cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD), diajar secara dalam dan luar talian, kelas digital selain boleh dimuat di dalam android bagi menggunakannya melalui telefon pintar.

Beliau berkata, modul dalam bentuk interaktif dan multimedia itu merangkumi 6,000 aktiviti PDP matematik bagi setiap darjah pelajaran.

"Modul ini bukan saja dapat menukar pembelajaran matematik daripada membosan kepada menyeronokkan malah memudahkan guru dan murid mahir menguasai teknik pengiraan, menyelesai masalah selain menjimatkan penggunaan kertas kerana guru dan murid hanya perlu tekan pada tetikus saja untuk belajar Matematik," katanya.

Bagi pencapaian itu, Aziz turut mendapat pengiktirafan 'Certificate of Achievement in Microsoft Digital Literacy oleh Microsoft Malaysia pada tahun 2014; Anugerah Guru Inovatif Sekolah Rendah Peringkat Negeri Kelantan pada 2015 oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Johan Pertandingan Jejak 1001 Inovasi 2013.

Aziz juga memuatnaik modul Azimat Matematik di Youtube dan azimate.blogspot.com yang boleh dilayari secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 2:27 PM