SITI Nurul Ain (kanan) bersama guru lain menunjukkan D'Alert. FOTO Ihsan Pembaca.
SITI Nurul Ain (kanan) bersama guru lain menunjukkan D'Alert. FOTO Ihsan Pembaca.
Ahmad Hasbi


Seremban: Menyedari isu penjarakan fizikal sukar untuk dipraktikkan bagi mengawal penularan Covid-19 terutama membabitkan pelajar sekolah, sekumpulan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Durah, di sini, mencipta alat yang dikenali sebagai D'Alert.

Keistimewaan alat berkenaan adalah dapat mengesan sekiranya terdapat pelajar atau mana-mana individu yang berada dalam jarak dekat antara satu sama lain.

Guru Penyelaras Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) SMK Tengku Ampuan Durah, Siti Nurul Ain Idrus berkata, projek berkenaan dimulakan pada Februari lalu dan kini pihaknya sedang menambah baik fungsi alat terbabit.

"Alat ini berfungsi bagi menggalakkan pelajar menjaga penjarakan fizikal seperti yang perlu diamalkan dalam norma baru. Ia akan mengeluarkan tanda X sekiranya terdapat pelajar yang berada dalam jarak dekat.

"Kami mendapati isu penjarakan fizikal sukar untuk dikawal terutama membabitkan pelajar jadi kami hadir dengan alat ini bagi menyelesaikan masalah dihadapi," katanya.

Siti Nurul Ain berkata, alat itu dicipta sebagai salah satu daripada projek STEM bersama pelajar dengan bantuan lima guru lain.

"D'Alert menggunakan teknologi microbit yang mana kami hanya perlu membuat penyelarasan atau coding secara atas talian kerana ia tidak memerlukan perisian komputer.

"Jadi kami menetapkan jarak satu meter dan jika pelajar berada kurang daripada jarak itu ia akan mengeluarkan tanda X dan tanda itu akan hilang sebaik pelajar menjauhkan diri antara satu sama lain," katanya.

Guru subjek Matematik Tambahan berkata, beliau bersama guru lain, Lee Shing Hua, Mohd Zaidi Mohd Nazar, Norazlina Abdullah, Nurhida Mohd Noh Amar Husaini Ismail kini sedang menambah baik fungsi alat itu.

"Kami akan menambah fungsi supaya ia dapat membaca suhu badan pelajar dan dapat digunakan sebagai semakan kehadiran. Kami akan mencantikkan lagi rupanya selain beratnya juga akan dikurangkan.

"Sekiranya projek ini berjaya dan kami berjaya pergi ke peringkat antarabangsa, kami akan membuat prototaip sebelum mahu memasarkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 9:31 AM