DR Adham (belakang, tiga dari kiri) dan Dr Asma (belakang, dua dari kanan) bersama barisan pemenang National Science Challenge 2022 Piala Pusingan Perdana Menteri.
DR Adham (belakang, tiga dari kiri) dan Dr Asma (belakang, dua dari kanan) bersama barisan pemenang National Science Challenge 2022 Piala Pusingan Perdana Menteri.
Nurul Hidayah Bahaudin

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin (CF), Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara Pertandingan National Science Challenge 2022 Piala Pusingan Perdana Menteri yang melabuhkan tirai bagi edisi tahun ini. 

Pertandingan NSC adalah antara program Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam pengisian Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Mengetengahkan tema 'Masa Depan Lestari Melalui Kesihatan Planet berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI),' ASM selaku penganjur mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.

Sebanyak 3,895 pasukan membabitkan 11,685 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun daripada sekolah menengah di seluruh negara menyertai NSC 2022. 

Peringkat awal NSC adalah kuiz secara dalam talian untuk menguji pengetahuan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pelajar.

Ia terdiri daripada 60 soalan aneka pilihan dan soalan subjektif meliputi subjek biologi, kimia, fizik dan sains am yang berlangsung pada 13 hingga 16 Jun lalu.

Memasuki peringkat negeri bermula 1 hingga 24 Julai lalu, lima pasukan dari setiap 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan diuji dengan komponen Sains Komunikasi meliputi tugas seperti persembahan video dan pembentangan slaid serta temuduga berkumpulan.

Penjurian peringkat negeri diadakan secara fizikal di Sabah dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah pada 16 dan 17 Julai lalu, manakala penjurian bagi negeri lain diadakan secara dalam talian pada 22 hingga 24 Julai lalu.

Peringkat separuh akhir pula berlangsung pada 3 hingga 27 Ogos lalu dengan 20 pasukan terbaik perlu membuat pembentangan idea inovasi berkaitan dengan tema 'Kesihatan Planet'.

Setiap kumpulan juga perlu menghasilkan prototaip sebenar berlandaskan tema pengurusan air di sekolah masing-masing. 

Dalam tempoh sama, semua pelajar juga mengikuti enam syarahan sains, empat bengkel sains serta dua ceramah industri yang merentasi subjek STEM. 

Lima pasukan berdasarkan merit sepanjang pertandingan berjaya memasuki peringkat akhir iaitu SMJK Jit Sin (CF), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sibu; SMJK Ave Maria, Perak; Pusat Genius@Pintar Negara, Selangor dan Cempaka International School Damansara dengan diwakili tiga pelajar. 

Mereka diadili mengikut beberapa kategori iaitu kategori pasukan dengan pelajar mengambil bahagian sebagai satu pasukan menjawab 15 soalan berkaitan topik subjek biologi, kimia, fizik, matematik dan sains am.

Bagi kategori individu pula, setiap ahli secara bergilir-gilir akan diberikan soalan berdasarkan pusingan iaitu Biologi, Kimia dan Fisik atau Matematik. 

Kategori seterusnya adalah pusingan kilat dengan setiap pasukan perlu menjawab soalan yang dibagikan kepada dua iaitu soalan am dan video. 

PELAJAR SMJK Jit Sin menerangkan prototaip yang dihasilkan.

Kategori terakhir adalah pembentangan prototaip iaitu pasukan dikehendaki membentangkan projek mereka kepada hakim pada sesi berkenaan. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba menekankan pendekatan lebih kreatif dan inovatif amat digalakkan dalam pembelajaran subjek STEM. 

Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan Malaysia melahirkan lebih ramai pereka cipta serta inovator tempatan berkualiti pada masa akan datang yang mampu memacu ekonomi negara berasaskan inovasi.

"Negara-negara maju mengamalkan pendekatan pembelajaran melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembelajaran amali bermula dari peringkat awal pendidikan. 

"Pembelajaran STEM perlu mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan penerokaan terbuka," katanya ketika berucap di Peringkat Akhir NSC 2022. 

SEBAHAGIAN peserta pada acara akhir NSC 2022.

Presiden ASM, Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail berkata, ASM mengajarkan Pertandingan NSC sejak 1999 bagi menyediakan platform memupuk minda saintifik dan minat dalam bidang STEM dalam kalangan generasi muda.

Beliau yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi Negara memaklumkan pertandingan itu menjadi antara satu kuiz sains kebangsaan utama dalam kalangan pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga empat di Malaysia. 

Selaku juara, SMJK Jit Sin membawa pulang Piala Cabaran Pusingan Perdana Menteri, komputer riba, lawatan sambil belajar ke Jepun, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian

Bagi finalis lain pula menerima gajet IT, Biasiswa Pendidikan ASM-NSC dan sijil pencapaian. 

Ikuti laman sosial Instagram @nsc_malaysia & @akademisainsmy bagi mengetahui pengumuman pendaftaran NSC 2023 dari semasa ke semasa. 

Bagi menonton semula Pertandingan NSC 2022 Piala Pusingan Perdana Menteri, sila layari https://bit.ly/NSCFinal2022.

Sekalung penghargaan juga kepada rakan strategik yang memberikan sokongan sepanjang penganjuran pertandingan tahunan ini. 

Antaranya, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), SASBADI, Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST), Malaysian Society for Microbiology (MSM), American Chemical Society (ACS), Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), My STEM Ambassador dan Global Environment Centre (GEC). 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 2:33 PM