Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan akan berusaha mendapatkan lebih banyak penyertaan institusi kewangan sebagai panel bank bagi menawarkan pembiayaan maksima 110 peratus menerusi Skim Sewa Beli (RTO) untuk membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, setakat ini, tiga institusi kewangan sudah bersetuju untuk menawarkan pakej pembiayaan berkenaan iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank dan Malaysian Building Society Berhad (MBSB).

Katanya, skim terbabit diwujudkan sebagai inisiatif membantu pemohon supaya tidak terbeban untuk menyediakan bayaran awal ketika membeli rumah seperti wang pendahuluan, khidmat guaman dan duti setem.

“Kajian mendapati masalah utama kumpulan sasar mendapatkan kediaman adalah keupayaan mereka untuk membayar wang pendahuluan.

“Pakej pinjaman itu sekali gus dapat meningkatkan akses memiliki perumahan di Malaysia dan beberapa institusi kewangan sudah bersetuju menawarkan kemudahan pembiayaan maksima 110 peratus bagi rumah PR1MA.

“Menerusi kemudahan ini, pembeli tidak lagi terbeban menyediakan bayaran awalan seperti wang pendahuluan, khidmat guam dan duti setem,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) mengenai sama ada kerajaan berhasrat memperluaskan konsep RTO itu dan cadangan menubuhkan institusi kewangan berperanan menguruskan Skim Sewa Beli itu.

Selain itu, Shahidan berkata, skim itu disifatkan sebagai kemudahan luar biasa ditawarkan kepada pemohon apabila membolehkan mereka yang tidak dapat membuat bayaran awal untuk memiliki rumah.

Katanya, skim itu boleh bermula selepas rumah yang dibeli itu siap dalam tempoh tiga tahun dan boleh mempertimbangkan semula sama ada ingin meneruskan skim itu.

“Skim ini boleh bermula selepas rumah siap kemudian mereka boleh mula tetapi dalam proses tiga tahun, mereka boleh betulkan kedudukan kewangan.

“Selepas rumah siap, mereka boleh pilih semula sama ada ada untuk menyertai skim ini atau membelinya. PR1MA juga dianggap mirip kepada bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:14 AM