Sebanyak 50 peratus pembeli tidak layak pinjaman bergaji rendah, terutama yang baru bekerja. - Foto Fail
Sebanyak 50 peratus pembeli tidak layak pinjaman bergaji rendah, terutama yang baru bekerja. - Foto Fail
BERNAMA

Petaling Jaya: Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) menggalakkan bank lebih fleksibel dalam menyediakan pinjaman kepada pembeli rumah kali pertama.

Sebanyak 50 peratus daripada pembeli tidak layak untuk pinjaman kerana tidak dapat memberi wang pendahuluan, gaji rendah dan mempunyai komitmen sedia ada.

Pengerusi REHDA Datuk Ng Seing Liong berkata pembeli rumah kali pertama, yang biasanya profesional muda dan graduan baru, perlu diberi peluang memiliki rumah dan meraih pulangan pelaburan mereka untuk masa depan.

"Graduan baru atau profesional memperoleh antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan dengan banyak komitmen sedia ada.

"Oleh itu, lebih baik membantu mereka dengan memberi pengecualian duti setem, kadar faedah lebih rendah, tempoh pembayaran balik lebih panjang dan ansuran awal dikurangkan," katanya pada sidang media mengenai Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) 2016 pada bulan depan, di sini hari ini.

Menurut Ng, bank perlu mengambil kira latar belakang keluarga dan pendidikan pemohon serta pekerjaan semasa mereka.

"Kami harap bank mengemukakan pakej khas untuk membantu pembeli kali pertama ini memiliki rumah," katanya.

Naib Presiden REHDA Datuk Anthony Adam Cho berkata persatuan telah meminta Bank Negara Malaysia mempertimbangkan entri mudah dan bayaran ansuran awal yang lebih murah untuk pembeli rumah kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 10:58 PM