Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur

Barangan tidak mematuhi standard atau produk komunikasi yang tidak mempunyai label pensijilan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dianggap produk 'tidak standard' di Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, tanpa label SKMM atau tanda pensijilan daripada badan pensijilan diakreditasi oleh Standards Malaysia, barangan itu mungkin tidak selamat, tidak boleh dipercayai dan mungkin menyalahi undang-undang jika digunakan di negara ini.

"Sebagai contoh, pemancar AV tanpa wayar atau router tidak standard yang dijual dalam talian pada harga murah. Tidak ramai yang menyedari bahawa peranti berkenaan boleh mengganggu peranti standard lain yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar, menyebabkan masalah kepada pengguna dan penyedia perkhidmatan.

"Pengguna mesti bijak semasa membeli, tapi pada masa sama, SKMM menggesa semua penjual supaya bertanggungjawab dengan mengikuti prosedur dan mendapatkan pensijilan yang diperlukan bagi membolehkan produk mereka dijual di Malaysia. Ia adalah situasi menang-menang untuk kedua-dua pengguna dan penjual," katanya dalam kenyataan media bersama antara Standard Malaysia dan SKMM sempena Hari Standard Sedunia, semalam.

SKMM, badan pengawal selia bagi sektor komunikasi sudah menguatkuasakan 10 Standard Mandatori dan 24 Kod Teknikal yang dibangunkan berdasarkan standard kebangsaan dan antarabangsa yang berkaitan.

Standard berkenaan bertujuan mengawal selia kualiti perkhidmatan komunikasi dan memastikan keselamatan dan prestasi produk komunikasi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Standards Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata, keselamatan dan kualiti yang menepati standard adalah kunci kepada mengekalkan dan meningkatkan gaya hidup rakyat.

"Melalui standard dan pematuhan, kami boleh memastikan pihak industri menyediakan produk dan perkhidmatan yang selamat, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai.

"Di Malaysia, semua produk mandatori seperti mainan kanak-kanak, topi keledar, perkakas rumah, bar keluli untuk pembinaan dan sistem keselamatan kenderaan perlu melalui beberapa siri ujian dan pensijilan untuk membuktikan produk tersebut selamat untuk digunakan," katanya.

Menurutnya setakat ini, Standards Malaysia sudah membangunkan lebih 6,500 standard di seluruh 24 sektor ekonomi serta mengiktiraf 501 makmal untuk beberapa jenis ujian dan penentukuran selain 24 badan pensijilan untuk pelbagai sistem pengurusan dan pensijilan produk berdasarkan standard diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Kerjasama Standards Malaysia dan SKMM ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan industri dan pengguna mengenai kepentingan standard dalam ekonomi global hari ini.

"Dalam persekitaran kawalan kendiri ini, pengguna lebih arif, justeru mendorong industri untuk menyediakan produk selamat dan berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:11 AM