KANAK-kanak juga berpeluang menyertai larian denai KL Sundown di Frim.
KANAK-kanak juga berpeluang menyertai larian denai KL Sundown di Frim.
Hafiz Ithnin


Seawal jam 6 pagi penulis sudah bersedia untuk berada di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (Frim) di Kepong menyertai acara larian denai selama 12 jam yang dikenali sebagai Sundown KL.

Namun, kali ini bukan ingin bercerita segala-galanya mengenai acara larian denai itu, tetapi aura pelancongan sukan yang dibawakan penganjur, Bolt Event di Frim kepada peminat acara larian itu.

Pada tahun lalu, Sundown diadakan di Cameron Highlands, tetapi pada tahun ini, penganjur mengadakannya di Frim kerana ingin menarik lebih ramai pengunjung khasnya dari Lembah Klang menikmati sendiri keindahan di situ.

Ketika mula memasuki kawasan itu, selain kelihatan kelibat peserta larian tidak asing juga pengunjung dalam kalangan penyokong yang berkhemah berhampiran kawasan permulaan perlumbaan kerana ingin menikmati suasana hijau di sekelilingnya.

Pengarah Media dan Komunikasi Bolt, Azlihana Abdul Rahim berkata, KL Sundown yang diadakan di Frim mempunyai keunikan tersendiri kerana terdapat hutan dan laluan denai unik yang amat popular dalam kalangan pelari denai tempatan dan pencinta alam semula jadi.

"KL Sundown di Frim adalah acara yang dinantikan peminat larian denai tempatan dan luar negara kerana trek denai di kawasan itu yang sudah lama tidak dibuka kepada orang ramai.

"Hutan Frim juga terkenal dengan 'shy tree canopy' yang mempunyai keindahan apabila kita melihat dari bawah kerana kanopi serba hijau yang unik," katanya.

KEINDAHAN hutan Frim yang unik dapat dirasai pelari denai.
KEINDAHAN hutan Frim yang unik dapat dirasai pelari denai.

PENGUNJUNG terdiri daripada penyokong dan peserta bersantai di khemah masing-masing menikmati keindahan hutan Frim.
PENGUNJUNG terdiri daripada penyokong dan peserta bersantai di khemah masing-masing menikmati keindahan hutan Frim.

Tambahnya, penganjur memberi peluang kepada orang ramai terutama penyokong untuk berkhemah di kawasan perlumbaan bagi membolehkan mereka menerokai pelbagai tarikan di Frim antaranya jambatan gantung dan air sungai yang jernih.

"Jadi, acara ini bukan sekadar sebuah kejohanan larian semata-mata kerana kita ingin mengangkat produk pelancongan di Lembah Klang khasnya kepada peminat larian yang datang dari seluruh Malaysia dan luar negara.

"Kami juga sebagai penganjur mendapat maklum balas positif daripada pengunjung kerana mereka boleh beriadah. Kanak-kanak pula boleh bermandi-manda di kawasan air sungai.

"Dari segi pelari pula, mereka turut memberi maklum balas yang baik kerana sambil berlari dapat menikmati keindahan hutan Frim," katanya.

Bagi memastikan kawasan hutan itu terpelihara, penganjur hanya dibenarkan menggunakan laluan sejauh 8.6 kilometer untuk perlumbaan.

Tambahnya, KL Sundown antara inisiatif yang dilaksanakan Bolt Event bersama rakan strategik untuk mendidik masyarakat bagi mencintai alam semula jadi dan memulihara alam sekitar.

"Sebagai penganjur, kami amat menitikberatkan kebersihan kawasan ini dengan memastikan peserta dan pengunjung membersihkan kawasan sekitar perkhemahan mereka," katanya.

Bercerita mengenai KL Sundown, katanya, acara itu menawarkan cabaran ketahanan 'endurance' kepada peserta kerana ada dua format dipertandingkan iaitu enam dan 12 jam yang mana pemenang dikira mengikut jumlah pusingan terbanyak dalam tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 6:44 AM