Fairul Asmaini Mohd Pilus


Ada yang datang bersama rakan, anak kecil dan ahli keluarga tersayang.

Masing-masing kelihatan teruja menyertai Guardian Fun Run yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Acara larian bagi menggalakkan masyarakat menjalani kehidupan yang aktif dan sihat itu menarik penyertaan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan umur serta kaum.

Dataran MAEPS bertukar menjadi lautan jingga dan masing- masing tidak sabar untuk memulakan larian.

Ketua Pemasaran, Guardian Health And Beauty Sdn Bhd, Angela Teo berkata, pihaknya berbangga dapat menganjurkan acara larian santai itu khas untuk pelanggan dan keluarga mereka sebagai salah satu cara meraikan kembali gaya hidup yang biasa seperti bersenam serta berlari.

Katanya, ia selaras dengan dengan visi dan komitmen mereka untuk membantu pelanggan menjalani kehidupan yang sihat serta indah setiap hari.

ANGELA melepaskan peserta larian
ANGELA melepaskan peserta larian

"Selepas pandemik Covid-19, semua orang ingin hidup lebih sihat, lebih bijak dan lebih prihatin terhadap kesihatan.

"Jadi, kami menganjurkan acara larian santai berorientasikan keluarga dengan kategori Larian Keluarga Tiga Kilometer dan Larian Neon Lima Kilometer untuk pelari yang lebih serius.

"Bagi yang berada di luar kawasan Lembah Klang, anda juga tidak terkecuali dan boleh menyertai acara larian secara maya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Angela lagi, pihaknya berharap untuk menganjurkan lebih banyak acara seperti itu untuk pelanggan mereka pada masa depan.

"Ia seiring dengan komitmen kami iaitu untuk membantu pelanggan menjalani Hidup Sihat dengan Bijak (Live Health Smart).

"Lagipun, misi kami adalah untuk memberikan penyelesaian kesihatan kepada pelanggan supaya kesihatan dan kesejahteraan dapat dikekalkan seterusnya dapat menjadi versi diri mereka yang lebih sihat dan lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, acara berkenaan berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk seisi keluarga.

Antaranya, tawaran istimewa oleh 31 jenama yang mengambil bahagian dari Guardian, penampilan istimewa Datuk Jalaluddin Hassan, konsert oleh 'DJ,' senamrobik dan cabutan bertuah.

Selain itu, peserta juga boleh menikmati minuman trak Milo yang digemari ramai dan pelbagai jualan trak makanan.

Peserta, Kathy Wui berkata, dia membawa dua anak lelaki berusia enam dan 10 tahun untuk bersama-sama menyertai acara larian itu.

PELBAGAI ragam dapat disaksikan sepanjang acara berlangsung.
PELBAGAI ragam dapat disaksikan sepanjang acara berlangsung.

Katanya, aktiviti riadah seperti itu bukan sahaja baik untuk kesihatan badan malah membantu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

"Saya dan suami masing-masing sibuk dan inilah masa yang sesuai untuk 'bonding' bersama anak.

"Kami menyertai acara larian keluarga sejauh tiga kilometer dan persekitaran di MAEPS juga sesuai kerana ia tenang selain lebih selamat kerana tiada lalu lintas kenderaan," katanya.

Robie Ishmel, 30, pula berkata, acara larian sudah tidak asing lagi bagi dirinya namun aktiviti itu terhenti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, penganjuran program seperti itu sedikit sebanyak mengembalikan keyakinan orang ramai untuk menjalani kehidupan seperti biasa dalam normal baharu.

"Aktiviti larian begini lebih relaks dan santai kerana ia bukan untuk mencari siapa yang menang atau lebih laju.

"Ia juga lebih menyeronokkan kerana dapat beriadah bersama rakan-rakan yang mempunyai minat sama, " katanya.

SENAM robik sebelum memulakan larian.
SENAM robik sebelum memulakan larian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:01 AM