KING Of Kemensah Trail mendapat sambutan mengalakkan perserta tempatan dan luar negara.
KING Of Kemensah Trail mendapat sambutan mengalakkan perserta tempatan dan luar negara.
AKSI peserta yang baharu sahaja memulakan larian.
AKSI peserta yang baharu sahaja memulakan larian.

SUDAH beberapa kali pemilik acara larian ultra denai, King of Kemensah Trail mengajak penulis 'menikmati' acara perlumbaan itu memandangkan ia antara acara perlumbaan denai yang sentiasa mendapat sambutan peminatnya.

Pada tahun ini, acara itu berlangsung dua hari iaitu pada 8 dan 9 Julai lalu dengan mempertaruhkan enam kategori jarak iaitu 100 kilometer (km), 50km, 30km, 18km, 10km dan lima kilometer.

Acara itu yang memasuki tahun ke sembilan tahun ini berjaya menarik 1,800 peserta tempatan dan luar negara antaranya dari Singapura, Switzerland, Kanada dan Amerika Syarikat.

Ternyata acara itu satu cabaran larian yang bukan mudah kerana lebih 95 peratus trek lariannya adalah denai.

Penulis sendiri yang menyertai acara itu untuk kategori 30km turut merasai kesukaran untuk menamatkan larian berkenaan. Apatah lagi, ketika itu musim hujan baharu sahaja bermula.

Bermula di Kem Ghafar Baba, Kampung Kemensah, Ulu Kelang, Selangor larian permulaan sahaja melalui jalan tar kira-kira satu kilometer sebelum memasuki laluan denai sepenuhnya.

Sebaik sahaja memasuki trek denai, ternyata laluan berlumpur menjadi cabaran utama dan kadangkala perlu mengelak lopak air yang tidak diketahui ke dalamannya.

Justeru, bukan sesuatu yang mudah untuk mengaturkan langkah larian dan pada masa sama kekuatan dan keseimbangan amat diperlukan.

LALUAN berbukit antara cabaran yang perlu dilalui peserta.
LALUAN berbukit antara cabaran yang perlu dilalui peserta.

Menariknya mengenai acara ini selain daripada cabaran berlumpur, peserta juga perlu meranduk beberapa anak sungai dan kawasan berbukit dengan jumlah ketinggian (EG) terkumpul bagi kategori 30km, 1,129 meter (m).

Selain itu, dari segi pos berehat untuk pelari juga diletakkan pada jarak yang amat relevan iaitu kira-kira setiap tujuh hingga lapan kilometer dan ia amat membantu peserta untuk mengisi keperluan diri ketika perlumbaan seperti air dan makanan ringan.

Pengarah Teknikal The Comrades, Arman Arshad berkata, King of Kemensah Trail antara cabaran larian denai yang sentiasa menjadi pilihan ramai peminat pelumba denai untuk menguji prestasi larian masing-masing.

Jelasnya, trek larian yang hampir semuanya adalah laluan denai menjadi faktor acara itu mendapat sambutan setiap tahun selain membolehkan peserta mengumpul mata untuk pelbagai perlumbaan.

"Pada tahun ini cabarannya lebih sukar kerana musim hujan baharu sahaja bermula. Laluan denai yang perlu ditempuhi pelumba berlumpur.

"Selain itu, bagi memastikan keadaan peserta selamat, kami juga terpaksa membatalkan dua kategori jarak larian iaitu 10km dan lima kilometer pada hari kedua memandangkan keadaan hujan yang amat lebat selain turut memberikan mereka medal serta baju penamat," katanya.

AKSI jurufoto merakamkan peserta larian.
AKSI jurufoto merakamkan peserta larian.

Tambahnya, meskipun untuk masuk ke kawasan permulaan perlumbaan perlu menaiki pengangkutan yang disediakan, penyokong peserta turut ramai menghadiri acara itu.

"Untuk memasuki lokasi permulaan kita sediakan pengangkutan kerana tidak mahu jalan menjadi sesak. Meskipun tiada pengangkutan peribadi dibenarkan, pengunjung bukan dalam kalangan pelari juga ramai menghadiri acara ini.

"Boleh dikatakan hampir 1,000 pengunjung bukan dalam kalangan peserta menyertai acara ini ," katanya.

Oleh Hafiz Ithnin

[email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:30 AM