TURUT disertai perserta daripada pelbagai peringkat usia.
TURUT disertai perserta daripada pelbagai peringkat usia.
Hafiz Ithnin


SUHU sejuk menjadi cabaran kepada peserta acara larian ini. Lokasinya bukan di luar negara, tetapi di Malaysia. Itu yang menjadi faktor tarikan hampir 3,000 peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah luar negara untuk menyertai acara berkenaan.

Camrun 2023 yang diadakan pada 4 dan 5 Mac lalu ternyata mempunyai cabaran tersendiri kerana diadakan di Cameron Highlands, Pahang.

Suhu mencecah sekitar 15 atau 16 darjah Celsius pada jam 12 tengah malam ketika perlepasan bagi katego

ri 21 kilometer (km) bagai terasa 'aura kedinginan' ketika penulis menyertainya.

Tidak sekadar itu, bagi kategori 21km, peserta larian juga perlu melalui kawasan berbukit dengan jumlah ketinggian terkumpul 628 meter.

Ia bukan sesuatu yang mudah untuk menempuhi cabaran itu. Apatah lagi, bagi mereka yang sering melakukan aktiviti larian di jalan rata.

Bersandarkan pengalaman penulis yang menyertai acara larian itu, sememangnya tidak boleh berhenti lama kerana badan akan begitu cepat berasa sejuk. Tip paling utama ialah terus bergerak!

Pada hemat penulis, acara larian itu yang memasuki edisi tahun ketiga sejak 2019 sebenarnya bukan sekadar mencabar kemampuan peserta dalam acara larian sahaja.

Perkara ini kerana jarak yang dipertandingkan bermula 5km, 10km dan paling jauh 21km. Di Malaysia acara larian marathon pada jarak itu begitu banyak diadakan, tetapi istimewanya Camrun kerana ia menawarkan pengalaman berlari dalam suasana sejuk.

MENYERTAI larian dalam cuaca sejuk memberi kelainan dalam Camrun.
MENYERTAI larian dalam cuaca sejuk memberi kelainan dalam Camrun.

Tidak mustahil, jumlah peserta yang menyertai acara larian itu mencecah hampir 3,000 orang dan turut disertai oleh peserta dari 10 negara antaranya Singapura, Thailand, Eropah dan Brunei.

Penganjur acara itu, Bolt Event Management yang begitu sinonim dengan penganjuran acara larian di Cameron Highlands sebenarnya melihat, acara larian seperti itu sebenarnya mampu mempromosikan keunikan pusat pelancongan tanah tinggi di Malaysia.

Pengarah Media dan Komunikasinya, Azlihana Abdul Rahim berkata, sejak 2019 Camrun diadakan jumlah peserta sentiasa meningkat kerana pelari ingin menikmati suasana berlari dalam suasana yang sejuk.

"Di Semenanjung, Cameron Highlands adalah satu destinasi tanah tinggi yang begitu terkenal sebagai pusat pelancongan bersuhu sejuk.

"Jadi, kami ingin memberi pengalaman kepada peminat aktiviti larian untuk menikmati larian dalam keadaan sejuk di Cameron Highlands dan merasai sendiri cabaran trek berbukit," katanya.

Azlihana berkata, kelainan yang ditawarkan pada tahun ini adalah membuka satu kategori baharu iaitu 'fun run' sejauh 5km untuk keluarga yang boleh berlari dalam kumpulan.

TURUT disertai peserta dari luar negara.
TURUT disertai peserta dari luar negara.

"Setiap kumpulan keluarga ini maksimum mereka boleh berlari bersama empat ahli keluarga. Kategori ini ternyata mendapat sambutan kerana kami menerima hampir 400 peserta.

"Jadi, kami ingin memberi peluang kepada peserta terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak untuk menikmati acara larian ini dan paling utama kami ingin mendidik kanak-kanak khasnya bagi menghargai pusat pelancongan di Malaysia," katanya.

Katanya lagi, untuk menjadikan acara itu meriah sudah semestinya konsep keceriaan di lokasi permulaan dan penamat diwujudkan.

"Pada tahun ini, lokasi permulaan bertempat di Padang Awam MDCH diterangi dengan cahaya lampu dan ada pelbagai sudut menarik untuk peserta khasnya dan pengunjung lain amnya merakamkan gambar di lokasi itu.

"Acara ini yang diadakan pada sebelah malam sememangnya begitu ceria dengan dekorasi lampu yang dipasang oleh kami dan maklum balas positif juga diterima daripada pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 6:30 PM