ACARA peragaan fesyen pemilik dan kucing kesayangan yang tidak kurang menariknya.
ACARA peragaan fesyen pemilik dan kucing kesayangan yang tidak kurang menariknya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Penganjuran Pets Fiesta oleh Kelab Kucing Malaysia (KKM) selama tiga hari di Plaza Shah Alam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini menarik ribuan peminat haiwan kesayangan.

Selain pameran dan pertandingan kucing, fiesta itu juga menampilkan himpunan haiwan eksotik seperti vampire crab, katak pacman, ular albino dan banyak lagi.

Turut diadakan mini petting zoo untuk membolehkan kanak-kanak bermesra dan memberi makan haiwan peliharaan.

Pengunjung, Arina Ahmad, 46, berkata, dia sekeluarga tidak ketinggalan mengunjungi fiesta itu kerana semua tiga anaknya antara pencinta haiwan terutama arnab dan kucing.

Namun, disebabkan menetap di perumahan jenis berstrata (pangsapuri), mereka sekeluarga 'tidak dibenarkan' memiliki haiwan peliharaan.

"Selalunya kami sekeluarga akan ke pameran haiwan di sekitar ibu negara untuk membolehkan anak-anak bermain dan bermesra dengan haiwan berkenaan.

"Tetapi, kali ini ia diadakan berdekatan dengan rumah pula dan pastinya kami tidak melepaskan peluang.

FESYEN menawan untuk si bulus kesayangan.
FESYEN menawan untuk si bulus kesayangan.

"Memang menyeronokkan, hari pertama kami sudah datang dan hari ini (hari ketiga) kami sekali lagi datang kerana anak-anak tidak puas," katanya.

Dalam pada itu, acara peragaan fesyen oleh pemilik dan kucing kesayangan turut diadakan.

Peragaan fesyen sempena sambutan Deepavali itu mencuri perhatian dan pengunjung nyata terhibur dengan pakaian dan aksi ditampilkan haiwan kesayangan berkenaan.

Allysia Sabin, 27, dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pula turut membawa kucing putih kesayangannya, Luna menyertai peragaan fesyen berkenaan.

Meskipun suasana meriah dengan sorakan pengunjung, namun kucing baka tempatan berbulu panjang itu tetap tenang di pangkuan Allysia.

Menurut Allysia, dia kerap membawa Luna dan sembilan lagi kucing belaannya menyertai pameran serta pertandingan di sekitar Lembah Klang.

Disebabkan, kucingnya sudah biasa berdepan orang ramai dan tidak lagi takut seperti awalnya.

"Luna kucing yang manja, mudah mesra dan suka berkawan. Disebabkan sudah biasa menyertai pameran dan pertandingan, memang mudah untuk menggayakannya.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bermesra dengan haiwan peliharaan di mini petting zoo.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bermesra dengan haiwan peliharaan di mini petting zoo.

"Cuma saya perlu sentiasa 'standby' makanan kerana jika terlalu ramai mengerumuni, ia juga rimas dan hilang tumpuan," katanya.

Sementara itu, Presiden KKM Khalid Rashid berkata, fiesta itu turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk klinik swasta yang menyediakan khidmat vaksinasi pada harga yang lebih murah.

Kata Khalid, selain mendidik dan memupuk masyarakat mengenai kepentingan menyayangi haiwan, pihaknya juga mahu memastikan pemilik sentiasa peka dengan kesihatan serta kebajikan haiwan peliharaan.

"Dalam menjaga kesihatan haiwan peliharaan terutama kucing, pengambilan vaksin perlu diutamakan.

"Untuk itu, pemilik dinasihatkan supaya mengikut jadual pengambilan vaksin bagi memastikan si bulus kesayangan dapat dilindungi dan sihat sentiasa.

"Di pihak KKM, kami sentiasa komited memberi didikan kepada orang ramai kerana seperti manusia dan tumbuhan, haiwan juga berhak mendapat perlindungan sebaiknya," katanya.

ANTARA haiwan eksotik yang dipamerkan.
ANTARA haiwan eksotik yang dipamerkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 7:01 AM