PELBAGAI jenis pakaian kucing yang dihasilkan Rosmani.
PELBAGAI jenis pakaian kucing yang dihasilkan Rosmani.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: "Saya pernah diketawakan dan dikatakan tidak ada kerja kerana menjahit pakaian seperti baju kurung untuk kucing peliharaan.

"Namun, saya tidak pernah mengendahkannya. Ia satu kepuasan apabila melihat si bulus kesayangan bergaya mengenakan pakaian hasil jahitan saya," kata Rosmani Abd Ghani.

Rosmani, 61, berkongsi pengalamannya sebagai tukang jahit pakaian kucing yang pada peringkat awalnya dilakukan hanya sekadar hobi.

Katanya, ketika itu, idea tercetus kerana mahu melihat kucing peliharaan turut sama memakai pakaian sedondon pada pagi Aidilfitri.

"Ini kerana, saya anggap kucing adalah sebahagian ahli keluarga yang perlu diberikan layanan istimewa.

"Saya seronok dapat menggayakan kucing dengan pelbagai pakaian yang cantik," katanya.

Menurut Rosmani, dia tidak menyangka hobi itu menjadi kerjaya baharu yang kini turut menjadi sumber pendapatannya.

ANTARA koleksi pakaian kucing yang dihasilkan Rosmani.
ANTARA koleksi pakaian kucing yang dihasilkan Rosmani.

"Saya sudah menceburi bidang ini hampir enam tahun dan perniagaan ini dilakukan dalam satu kumpulan membabitkan enam tukang jahit.

"Setiap daripada kami ada kepakaran masing-masing seperti berkebolehan menjahit lengkap satu pakaian, menjahit poket, menjahit aksesori pakaian termasuk songkok dan riben," katanya.

Rosmani yang menetap di Kuantan, Pahang berkata, ada lima jenis pakaian kucing jantan dan enam jenis pakaian untuk kucing betina yang dijahitnya.

"Pakaian kucing jantan seperti baju teluk belanga, baju teluk belanga samping, baju cekak musang, baju cekak musang, samping dan kurta.

"Manakala pakaian kucing betina pula adalah baju kurung, kebaya, peplum, dress, kurang Kedah dan peplum lite," katanya.

Ibu kepada dua anak ini berkata, baju dijahitnya berkonsepkan pakaian siap dipakai yang mempunyai empat saiz iaitu S hingga XL.

ANTARA koleksi pakaian kucing yang dihasilkan Rosmani.
ANTARA koleksi pakaian kucing yang dihasilkan Rosmani.

"Saya mula mendapat tempahan pada tahun kedua menceburi bidang ini dan hingga hari ini, sambutannya sangat menggalakan.

"Tempahan diterima daripada pelanggan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.

"Kemuncak menerima banyak tempahan adalah pada musim perayaan hingga tidak menang tangan. Ini kerana ramai pencinta kucing mahu si bulus masing-masing memakai pakaian sedondon bersama mereka," katanya.

Menurut Rosmani, pengalaman sebagai tukang jahit pakaian banyak membantunya untuk menjahit baju kucing.

"Cuma pakaian kucing ini perlu menggunakan lebih banyak kreativiti memandangkan jahitan di bahagian tangan agak sukar berbanding bahagian lain.

"Ini (bahagian tangan) adalah bahagian yang penting supaya kucing berasa selesa apabila memakai pakaian itu," katanya yang mampu menyiapkan tiga pasang pakaian kucing dalam sehari.

NURIZULFA (kiri) bersama peserta pertandingan pakaian kucing.
NURIZULFA (kiri) bersama peserta pertandingan pakaian kucing.

Pereka pakaian kucing teruja menang pertandingan

Kuala Lumpur: "Saya sanggup mengikuti kelas jahitan pakaian semata-mata mahu mempelajari teknik asas jahitan.

"Kemudian, ilmu itu saya gabungkan bersama kreativiti untuk menghasilkan rekaan dan menjahit pakaian kucing," kata Nurizulfa Md Zainol.

Nurizulfa, 39, menjadi pereka dan penjahit pakaian kucing sejak dua tahun lalu. Ia didorong perasaan suka melihat si bulus bergaya dengan pakaian cantik.

Katanya, kebanyakan fesyen pakaian kucing yang dijahit adalah gaun labuh untuk pertandingan pakaian beragam kucing.

"Kucing adalah haiwan yang comel dan apabila menggayakan pakaian cantik, ia menambahkan kecomelan si bulus.

"Lazimnya, pakaian kucing dijahit mengikut kehendak pelanggan dan setelah mereka bersetuju dengan rekaan dihasilkan, barulah saya menjahitnya," katanya yang menetap di Sungai Petani, Kedah.

Menurut Nurizulfa, untuk menyiapkan sehelai pakaian kucing, ia bergantung kepada rekaannya.

Jika terdapat banyak hiasan, maka proses pembuatannya menjadi sedikit rumit dan ada kalanya mengambil masa seminggu untuk siap.

"Walaupun rumit dan memerlukan penelitian rapi, saya berasa seronok setiap kali dapat menyiapkan pakaian itu.

"Lebih-lebih lagi apabila pakaian daripada sentuhan tangan saya yang ditempah pelanggan memenangi pertandingan pakaian kucing tercantik.

"Setiap rekaan pakaian kucing akan disertakan dengan topi yang menjadi tanda dagangan saya," katanya.

Kata Nurizulfa, adakalanya dia membeli dress kanak-kanak terpakai lalu diubahsuai mengikut kesesuaian kucing.

"Ini untuk mempelbagaikan lagi kreativiti fesyen pakaian kucing yang lebih unik dan menarik.

"Bagi kucing yang bersaiz besar jenis kacukan, saya menggunakan ukuran pakaian bayi baru lahir hingga usia setahun," katanya.

Nurizulfa berkata, dia tidak berkesempatan mereka lebih banyak pakaian kucing susulan penularan pandemik Covid-19.

"Hampir dua tahun tiada penganjuran pertandingan kucing dan sejak itu, saya tidak menerima tempahan.

"Sebelum ini, saya lebih banyak menghasilkan hiasan sangkar kucing dan memenangi banyak pertandingan.

"Saya beralih kepada bidang ini (mereka dan menjahit pakaian kucing) kerana kurang persaingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:02 AM