TIDUR bersama boleh menyebabkan jangkitan penyakit sporo kucing.
TIDUR bersama boleh menyebabkan jangkitan penyakit sporo kucing.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENYAKIT sporo kucing atau dikenali sebagai 'feline sporotrichosis' adalah penyakit kulit yang biasanya berlaku kepada si bulus.

Ia kerap dikaitkan dengan penyakit yang membahayakan kesihatan pelbagai haiwan kesayangan terutama kucing.

Menurut Kitty's Care Veterinary Clinic, 'sporotrichosis' adalah jangkitan kulit yang berpunca daripada kulat 'sporothrix schenckii.'

"Kulat ini biasanya hidup pada tumbuhan kecil, paku-pakis dan tanah. Kucing yang terkena penyakit sporo kucing biasanya mendapat jangkitan melalui luka.

"Ia juga boleh berlaku melalui jangkitan daripada kucing lain yang menghidap penyakit itu menerusi interaksi sosial (tidur bersama, bersentuhan, bercium) dan gigitan ketika bergaduh," katanya.

BAGI kucing makanan berkhasiat.
BAGI kucing makanan berkhasiat.

Katanya, di samping itu, kucing juga boleh terkena penyakit ini melalui pengambilan makanan dan air yang tercemar dengan kulat.

"Lazimnya selepas kulat 'sporotrichosis' menjangkiti kulit, ia akan mengambil masa beberapa hari atau berbulan-bulan untuk gejalanya muncul.

"Gejala awal seperti kulit merah dan bengkak di kawasan luka yang kemudian membentuk lesi serta bisul pecah.

"Nod limfa membengkak, sukar bernafas kerana hidung berair atau tersumbat, hilang selera makan, badan kurus menjadi lemah, badan berdarah, daging luruh dan akhirnya mati (peringkat akhir penyakit)," katanya.

Katanya lagi, 'sporotrichosis' boleh menjangkiti kucing dan manusia. Jika kucing yang dijangkiti sporo menggaru serta menggigit manusia, ia boleh menyebarkan kulat ke kulit manusia yang seterusnya menyebabkan jangkitan.

"Risiko adalah lebih tinggi kepada mereka yang sering berhubungan dengan kucing seperti penternak haiwan atau penjaga kucing.

"Bagi manusia, jangkitan sporo paling biasa di kulit tetapi ia juga boleh menjangkiti organ dalaman dalam kes yang serius," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa cara untuk mencegah penyakit sporo kucing. Pertama ialah mengelakkan bersentuhan dengan kucing sakit.

"Jika si bulus mempunyai gejala penyakit seperti kulit terbuka, bengkak atau berkudis hendaklah mengelakkan diri daripada menyentuh kucing berkenaan sehingga ia pulih sepenuhnya.

"Cara kedua adalah memakai sarung tangan ketika menguruskan kucing. Ini untuk mengelakkan kulit daripada bersentuhan dengan jangkitan.

"Ketiga pula ialah dengan mengamalkan tabiat mencuci tangan. Cuci tangan dengan sabun dan air selepas berurusan dengan kucing, terutamanya jika ia sakit," katanya.

Tambahnya, cara keempat adalah memastikan persekitaran kucing bersih seperti 'litter box' dan tempat tidur bersih serta bebas daripada kulat juga bakteria.

Seterusnya, memastikan makanan kucing berkualiti dan seimbang.

Ini dapat membantu meningkatkan imuniti kucing serta mengurangkan risiko penyakit.

"Dapatkan pemeriksaan kesihatan kucing berkala dan vaksinasi. Ini dapat membantu mencegah jangkitan penyakit serta mengesan gejala awal penyakit sebelum menjadi lebih serius.

"Pencegahan adalah kunci utama untuk membantu kucing terhindar daripada jangkitan penyakit sporo.

"Amalkan juga pemantauan kesihatan kucing dan mengambil tindakan segera jika si bulus menunjukkan gelaja jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 6:30 AM