SEMUA jenis minuman yang mempunyai kandungan kafein di dalamnya juga tidak boleh diberi kepada kucing.
SEMUA jenis minuman yang mempunyai kandungan kafein di dalamnya juga tidak boleh diberi kepada kucing.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JIKA anda mahu memelihara kucing, pastikan tahu apakah makanan yang sesuai untuk si bulus tersayang selain ikan rebus, 'wet food' atau sebarang jenis makanan yang dijual di pasaran.

Ia tidak boleh diberi sembarangan makan kerana ada makanan yang langsung tidak sesuai dan tidak boleh dimakan kucing.

Antaranya, susu dan produk tenusu lembu yang boleh mengakibatkan si bulus mengalami cirit-birit serta masalah penghadaman.

Sebaliknya, susu kambing lebih digalakkan kerana tidak memiliki kandungan laktosa.

Andai mahu membeli susu untuk kucing di mana-mana kedai haiwan, pastikan kandungannya tidak mempunyai laktosa yang berbahaya untuk kucing.

Selain itu, elakkan juga dari memberi bawang atau tomato kepada kucing.

Bawang terutama bawang putih dipercayai boleh mengakibatkan sel darah pecah dan menyebabkan masalah kurang darah.

Tomato pula mengandungi alkaloid yang dikenali sebagai glikoalkaloid solanina yang berisiko menyebabkan gejala pada bahagian gastrousus kucing.

Buah itu mungkin berkhasiat untuk manusia, tetapi ia kurang sesuai diberi kepada kucing.

Jauhi juga buah anggur atau kismis daripada kucing kerana ia boleh menyebabkan masalah buah pinggang si bulus.

Dalam pada itu, semua jenis minuman yang mempunyai kandungan kafein di dalamnya juga tidak boleh diberi kepada kucing.

Jika terminum, kucing akan menjadi gelisah dan mengalami masalah pernafasan yang tidak normal atau dengan cepat.

Manakala coklat perlu dijauhi daripada kucing kerana ia dikatakan berbahaya dan boleh membawa maut sekiranya dimakan.

Ikan, daging atau telur mentah juga tidak boleh diberi kepada kucing kerana ia terdedah kepada bakteria berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 6:45 AM